Sabtu, 17 Oktober 2020 | 8:36pm
Petugas kesihatan menunggu orang ramai yang ingin membuat pemeriksaan COVID-19 percuma di Bangkok. - Foto AFP
Petugas kesihatan menunggu orang ramai yang ingin membuat pemeriksaan COVID-19 percuma di Bangkok. - Foto AFP

COVID-19: Thailand catat kes jangkitan tempatan pertama selepas sebulan

BANGKOK: Thailand mencatatkan kes jangkitan tempatan pertama COVID-19 selepas sebulan yang membabitkan sepasang suami isteri warga Myanmar yang menetap di Mae Sot.

Kedua-dua kes adalah antara 10 jangkitan COVID-19 yang dilaporkan di Thailand dalam tempoh 24 jam.

Pusat Pentadbiran bagi Situasi COVID-19 (CCSA) berkata pasangan itu, yang terdiri daripada seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun dan isterinya, 53, tinggal di Mae Sot dalam wilayah Tak.

"Pasangan itu tidak menunjukkan gejala COVID-19. Mereka tidak pernah meninggalkan Mae Sot atau melakukan perjalanan ke Myanmar baru-baru ini.

"Mereka dikesan dijangkiti virus itu semasa pengesanan kontak aktif di Mae Sot selepas kes COVID-19 melonjak di Myanmar," menurut kenyataan CCSA hari ini.

Setakat ini, Thailand telah merekodkan sejumlah 3,679 kes COVID-19 dengan 59 kematian.

Sepanjang tempoh 24 jam lalu, selain dua jangkitan tempatan itu, lapan adalah kes import membabitkan tujuh lelaki warga Thailand dan seorang warga asing yang kembali dari luar negara. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X