Selasa, 13 Oktober 2020 | 10:46am
Durian Malaysia yang siap dibungkus bagi eksport ke China. - Foto BERNAMA
Durian Malaysia yang siap dibungkus bagi eksport ke China. - Foto BERNAMA

Malaysia, Thailand 'perang durian' di China

BANGKOK: Perang durian meletus di China dengan persaingan sengit antara Musang King Malaysia dan Monthong Thailand bagi menguasai pasaran durian yang semakin lumayan di republik itu.

Konsulat Jeneral Thailand di Nanning berkata Malaysia melancarkan 'serangan' sejak awal bulan ini, membanjiri wilayah Guangxi dengan bekalan lebih 1,000 tan durian Musang King sempena program 'Durian Malaysia 2020'.

Malaysia memanfaatkan saluran pemasaran norma baharu menggabungkan jualan secara langsung dan dalam talian selain menawarkan sampel percuma serta jualan promosi durian pada harga serendah 1 yuan (62 sen) sekilogram.

Justeru, durian Malaysia kini semakin popular di China dengan promosi bulan ini saja menyaksikan jualan 340,000 biji durian bernilai lebih 70 juta yuan (RM43 juta).

'Durian Malaysia 2020' turut membuka peluang kepada pengusaha Malaysia untuk meninjau cita rasa pasaran China bagi produk berperisa durian seperti kentang goreng, kopi, minuman keras, tauhu, kuih bulan dan ais krim.

Thailand sudah lama menjadi pengeksport durian terbesar ke China, dengan pasaran terbesarnya di wilayah Guangxi dan Guangdong.

Bagaimanapun, status Monthong sebagai raja durian di China kini diancam oleh Musang King atau lebih dikenali sebagai 'Maoshan Wang' oleh penggemar China, yang turut menggelarnya sebagai 'Hermes dalam kalangan durian'.

Dalam tempoh lima tahun lalu, harga runcit Musang King meningkat 300 peratus selepas China mula mengimport buah durian sejuk beku dari Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia menggesa pengusaha durian memperluaskan kawasan tanaman, dengan mengunjurkan eksport Musang King mampu meningkat sehingga 50 peratus lagi dan produk hiliran bertambah lebih dua kali ganda.

Malaysia juga merancang meningkatkan penguasaan pasaran eksport durian sejuk beku ke China antara 50 hingga 75 peratus dalam masa terdekat.

Raja buah itu kini boleh dibeli di pasaran dalam talian China seperti laman sesawang T-Mall.

Pengurus Bahagian Makanan, Sayuran dan Barangan Sejuk T-Mall, Si Hao, berkata kebanyakan peniaga di laman sesawangnya menjual durian Monthong, yang menguasai 80 peratus pasaran China, dan durian Chanee.

"Bagaimanapun, durian Malaysia kini memberi saingan hebat selepas memasuki pasaran dalam talian dengan menggunakan teknologi pembekuan nitrogen yang mampu melanjutkan tarikh luput daripada lima hari kepada 18 bulan," katanya.

China kini membenarkan import durian dari Thailand dan Malaysia tetapi Vietnam serta Filipina juga sedang giat berunding bagi memasuki pasaran durian China. - AGENSI

Berita Harian X