Ahad, 27 September 2020 | 7:24pm
Singapura semakin melonggarkan sekatan bagi mengekang penularan COVID-19 di republik itu. - Foto AGENSI
Singapura semakin melonggarkan sekatan bagi mengekang penularan COVID-19 di republik itu. - Foto AGENSI

COVID-19: 15 Kes baharu di Singapura

SINGAPURA: Singapura dalam pengesahan awal melaporkan 15 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, termasuk lima kes import.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu semua kes import telah diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan MOH, kementerian itu berkata tiada kes dalam komuniti.

Dengan perkembangan terkini itu, jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di republik itu ialah 57,700.

MOH berkata, ia masih lagi meneliti perincian kes dan kemas kini selanjutnya akan dikeluarkan malam ini.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu mendedahkan kesemua 20 kes yang dilaporkan semalam adalah pesakit tanpa gejala dan dikesan daripada saringan dan pengawasan proaktif MOH.

Setakat ini MOH mengklasifikasikan 1,041 kes yang dilaporkan adalah kes import; 2,245 kes komuniti dan 54,399 membabitkan penghuni asrama.

Menurut kementerian itu 57,359 kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Dua puluh lima kes yang disahkan masih dirawat di hospital tetapi tiada di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 274 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif untuk COVID-19 telah diasingkan dan mendapat rawatan di kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu dengan kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X