Sabtu, 26 September 2020 | 6:39pm
Gambar fail menunjukkan seorang anak kapal MV Gulf Livestock 1 diselamatkan selepas kapal itu karam pada 3 September lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang anak kapal MV Gulf Livestock 1 diselamatkan selepas kapal itu karam pada 3 September lalu. - Foto AFP

Kru kapal mangsa taufan masih dicari

MANILA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan bantuan pasukan pengawal pantai China untuk mengesan anak kapal yang hilang susulan kapal karam dibadai Taufan Maysak di perairan Jepun 3 September lalu.

Kedutaan China, dalam satu kenyataan, berkata ketika ini pengawal pantai masih belum menemui mereka yang hilang sejak tragedi itu berlaku tiga minggu lalu, namun akan meneruskan usaha dan menyediakan bantuan.

Menurut kenyataan sama, pihak berkuasa China sudah menjalankan misi SAR selama dua hari berturut-turut awal minggu ini, bagaimanapun 36 kru MV Gulf Livestock 1 masih hilang dan tidak dapat dikesan.

"Doa dan harapan kami bersama mereka yang hilang serta berharap kesemua mereka ditemui secepat mungkin," katanya.

Menurut Inquirer.com pula, permohonan bantuan SAR itu dilakukan oleh kerajaan Filipina untuk mencari pelaut yang masih hilang, termasuklah 36 warga Filipina.

Kapal itu mempunyai 43 kru termasuk 39 rakyat Filipina dan masing-masing dua dari New Zealand dan Australia ketika ia karam pada 3 September lalu.

Selain China, kerajaan Filipina turut memohon bantuan Korea Selatan dan Taiwan untuk menyertai operasi itu.

MV Gulf Livestock 1 hilang selepas dilaporkan terbalik di Laut China Selatan ketika dalam perjalanan ke China dari New Zealand selepas dilanda Taufan Maysak yang melanda pantai Jepun awal bulan ini. - AGENSI

Berita Harian X