Jumaat, 25 September 2020 | 8:11pm
Pelajar sekolah menengah Thailand meningkatkan bantahan menuntut reformasi sistem pendidikan.
Pelajar sekolah menengah Thailand meningkatkan bantahan menuntut reformasi sistem pendidikan.

Pelajar sekolah Thailand tuntut reformasi sistem pendidikan

BANGKOK: Pelajar sekolah menengah Thailand meningkatkan bantahan menuntut reformasi sistem pendidikan, mengambil iktibar daripada penunjuk perasaan pro-demokrasi dalam kalangan pelajar universiti negara itu.

Bantahan dan tunjuk perasaan yang berlanjutan selama beberapa minggu itu kini semakin lantang dengan lebih ramai peserta.

Gerakan diberi gelaran 'Bad Student' itu antara lain mendesak pemodenan sistem pendidikan Thailan yang didakwa jumud, terlalu ketat dan tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Nama itu diambil sempena sebuah buku, 'A Bad Student in an Excellent Education System', karya aktivis pelajar universiti, Netiwit Chotiphatphaisal, mengenai pengalamannya di sekolah menengah.

Tindakan memainkan lagu kebangsaan pada setiap pagi ketika perhimpunan, pakaian seragam dan peraturan amat ketat serta peraturan tegas melarang pelajar mempersoalkan kuasa pihak sekolah adalah antara reformasi yang disyorkan.

Malah, ada dalam kalangan pengkritik yang menyifatkannya sistem pendidikan Thailand sebagai lebih cenderung kepada proses pematuhan pelajar berbanding pembelajaran mereka.

Tahap pencapaian global yang dikumpul Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2018 menunjukkan bahawa Thailand jauh ketinggalan berbanding Singapura dan Malaysia dalam aspek pembacaan, matematik serta sains.

Bagaimanapun, golongan konservatif Thailand kurang senang apabila pelajar sekolah menengah menyertai pelajar universiti dan aktivis pro-demokrasi yang mempunyai agenda politik lebih besar.

Tindakan pelajar berkenaan memberikan tabik tiga jari ala Hunger Gamesd dilihat sebagai memperalatkan mereka bagi tujuan politik menuntut reformasi kerajaan dan sistem monarki Thailand.

Tabik tiga jari itu adalah simbol yang sering digunakan penunjuk perasaan pro-demokrasi sejak Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, mengambil alih pemerintahan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2014. - AGENSI

Berita Harian X