Khamis, 24 September 2020 | 7:11pm
Kakitangan perubatan melakukan saringan COVID-19 terhadap penduduk di Yangon, Myanmar yang menyaksikan peningkatan mendadak jangkitan virus itu. - Foto AFP
Kakitangan perubatan melakukan saringan COVID-19 terhadap penduduk di Yangon, Myanmar yang menyaksikan peningkatan mendadak jangkitan virus itu. - Foto AFP

DDC Thailand awasi bandar Myanmar catat kes tinggi COVID-19

YANGON: Jabatan Kawalan dan Pencegahan Penyakit (DDC) Thailand memantau rapi beberapa bandar Myanmar berhampiran sempadan mereka, susulan laporan mengenai 592 kes baharu COVID-19 di negara itu semalam.

Ketua Pengarah DDC, Suwannachai Wattanayingcharoenchai, berkata perkembangan semasa kes COVID-19 di Myanmar membimbangkan.

"Justeru, pengusaha perniagaan perlu menghentikan khidmat pekerja luar, khususnya rakyat Myanmar, bagi mencegah gelombang kedua jangkitan COVID-19 di Thailand.

"Mereka yang menggunakan Thailand sebagai transit ke negara jiran lain juga harus diawasi kerana berpotensi membawa virus itu dan menyebarkannya di sini.

"Pelbagai agensi saling bekerjasama untuk mencegah warga Myanmar menyeludup masuk ke Thailand secara haram," katanya.

Dr Suwannachai juga memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang terbabit dengan kumpulan pemerdagangan manusia.

Jumlah kes baharu COVID-19 di Myanmar mendadak sejak minggu lalu, mencatatkan hampir 4,000 kes baharu COVID-19 termasuk lebih 70 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 7,827 kes jangkitan termasuk 133 kematian setakat hari ini.

Dr Suwannachai berkata kadar peningkatan kes di Myanmar menyamai senario di negara jiran India, yang menyaksikan hampir 100,000 kes sehari.

Kerajaan Myanmar turut melaksanakan perintah berkurung di Yangon termasuk menutup sekolah dan kilang pakaian di bandar itu.

Orang ramai pula diarahkan bekerja dari rumah, serentak dengan penguatkuasaan pendekatan kesihatan yang ketat.

Terdapat 169 kes direkodkan di negeri Mon yang bersempadan dengan Kanchanaburi, 36 jangkitan di Karen, terletak di sempadan Mae Hong Son dan Tak, selain Kanchanaburi sendiri. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X