Rabu, 23 September 2020 | 6:24pm
Ilustrasi/Foto Denas/Padangkita.com
Ilustrasi/Foto Denas/Padangkita.com

Pilihan Raya Indonesia tetap berjalan walaupun pandemik meningkat

JAKARTA: Pilihan Raya Kepala Daerah 2020 (Pilkada) akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada 9 Disember bagi memastikan hak perlembagaan rakyat untuk memilih dan dipilih adalah dilindungi, menurut jurucakap Presiden, Fadjroel Rachman.

Beliau berkata, Presiden Joko Widodo (Jokowi) menegaskan bahawa Pilkada tidak boleh ditangguh sehingga wabak berakhir kerana tidak ada negara yang tahu bilakah ia akan tamat.

"Jokowi memerintahkan pemilihan serentak diadakan di bawah protokol kesihatan yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang untuk mencegah kelompok jangkitan baru," katanya.

Negara seperti Singapura, Jerman, Perancis dan Korea Selatan sudah mengadakan pilihan raya umum walaupun wabak itu sedang berlaku tetapi melaksanakannya dengan protokol yang ketat.

"Kerajaan menyeru semua pihak untuk bekerjasama bagi mencegah potensi kluster baharu COVID-19 di setiap peringkat Pilkada," katanya.

Jawatankuasa Pilihan Raya Umum ditugaskan untuk memastikan pematuhan ketat terhadap protokol kesihatan semasa pemilihan yang akan berlangsung serentak itu, manakala kementerian dan institusi yang berkaitan diarahkan supaya mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan pilihan raya yang selamat.

Begitupun, ada usaha berterusan untuk menghalang Pilkada itu berikutan krisis kesihatan yang semakin meningkat daripada Persatuan Pemilihan dan Demokrasi (Perludem), Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) dan Nahdlatul Ulama, organisasi Muslim terbesar di Indonesia.

Pemilihan ketua daerah serentak akan diadakan di 270 wilayah, termasuk di sembilan provinsi, 37 kota dan 224 daerah.

Terdapat lebih daripada 100 juta pengundi berdaftar. Tempoh kempen selama 71 hari akan bermula dari 26 September hingga 5 Disember ini. - AGENSI

Berita Harian X