Selasa, 22 September 2020 | 7:10pm
Seorang lelaki dengan memakai pelitup muka duduk di depan pintu masuk sebuah kedai di Singapura. - Foto AFP
Seorang lelaki dengan memakai pelitup muka duduk di depan pintu masuk sebuah kedai di Singapura. - Foto AFP

COVID-19: 21 kes baharu, sifar kes komuniti di Singapura

SINGAPURA: Singapura mengesahkan 21 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 57,627 kes.

"Berdasarkan siasatan kami setakat ini, tiada kes dalam komuniti," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini.

MOH memaklumkan terdapat satu kes import yang diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Kementerian itu menyatakan ia masih meneliti perincian kes-kes itu dan maklumat lanjut akan dikeluarkan malam ini.

Menurut data lengkap yang dikeluarkan lewat Ahad, kementerian itu mengklasifikasikan 1,024 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,243 adalah kes komuniti dan 54,339 kes membabitkan penghuni asrama.

Menurut kementerian berkenaan, kes 57679 yang ujian COVID-19 pertamanya positif, telah dikeluarkan daripada kiraan kes setelah siasatan lanjut dilakukan.

"Dua ujian seterusnya kembali negatif untuk COVID-19, dan siasatan oleh pakar makmal dan panel pakar menilai bahawa keputusan ujian pertamanya adalah positif palsu," menurutnya.

Sementara itu, MOH memberitahu 57,241 kes telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sebanyak 36 kes disahkan masih dirawat di hospital tetapi tiada yang dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU).

Dalam pada itu, 302 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi wabak itu di republik ini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam, manakala kluster di Hostel Kian Teck (30 Kian Teck Avenue) telah tamat kerana tiada lagi kes yang dikaitkan dengan kluster itu selepas dua kali kitaran tempoh inkubasi virus berkenaan selama 28 hari. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X