Ahad, 13 September 2020 | 8:39pm
Pengunjung berjalan di Supertree Grove skyway at Gardens by the Bay di Singapura yang baharu dibuka semula selepas ditutup akibat COVID-19. - Foto AFP
Pengunjung berjalan di Supertree Grove skyway at Gardens by the Bay di Singapura yang baharu dibuka semula selepas ditutup akibat COVID-19. - Foto AFP

COVID-19: 49 kes baharu di Singapura, 8 kes import

SINGAPURA: Laporan awal Kementerian Kesihatan Singapura hari ini menunjukkan tambahan 49 kes baharu jangkitan COVID-19 di negara republik itu, dengan lapan daripadanya membabitkan kes import.

Menerusi data ringkas yang dikeluarkan hari ini, menurutnya semua kes import telah diberikan Notis Tinggal di Rumah sebaik tiba di Singapura, dan berdasarkan siasatan sehingga kini, hanya satu kes dikesan dalam komuniti yang membabitkan seorang pemegang pas kerja.

Susulan laporan kes baharu, jumlah jangkitan secara keseluruhan kini menjangkau kepada 57,406.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, kementerian itu mengklasifikasikan 983 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,237 sebagai kes komuniti, dan 54,137 membabitkan penghuni asrama.

Menurutnya 56,699 pesakit telah sembuh sepenuhnya, dan 54 kes disahkan yang masih di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi, manakala 577 pesakit dengan simptom ringan atau sihat secara klinikal tapi masih positif COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Tiada kluster baharu dikesan semalam, dan sehingga kini 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan COVID-19 di Singapura. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X