Sabtu, 15 Ogos 2020 | 6:16pm
Anggota Abu Sayyaf, Abduljihad Susukan, ditahan di bandar selatan Davao. - Foto AFP
Anggota Abu Sayyaf, Abduljihad Susukan, ditahan di bandar selatan Davao. - Foto AFP

Pihak keselamatan Filipina berjaga-jaga

MANILA: Pasukan keselamatan Filipina bersedia untuk sebarang kemungkinan serangan balas selepas menahan pemimpin utama kumpulan militan berkaitan Daesh yang dituduh menculik dan memenggal kepala beberapa orang asing.

Anggota Abu Sayyaf, Abduljihad Susukan, ditahan di bandar selatan Davao dan diterbangkan ke ibu kota Manila semalam, di mana dia ditahan di ibu pejabat polis kebangsaan.

Dia didakwa atas 23 pembunuhan, lima penculikan dan enam percubaan pembunuhan, menurut kenyataan polis.

Disenaraikan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai organisasi pengganas, Abu Sayyaf adalah rangkaian militan yang dipersalahkan atas serangan pengganas terburuk di Filipina serta penculikan pelancong asing dan mubaligh Kristian.

"Polis Kebangsaan Filipina dan Angkatan Bersenjata Filipina tetap berjaga-jaga untuk mencegah dan bertindak balas terhadap serangan balas," kata jurucakap polis, Brig Jen Bernard Banac kepada AFP.

Tentera Filipina berkata, Susukan adalah dalang di sebalik pemenggalan pelancong Kanada, Robert Hall dan John Ridsdel pada April 2016, selepas Manila dan Ottawa menolak tuntutan tebusan oleh penculik.

Jurucakap tentera, Brig Jen Edgard Arevalo, berkata pada 2017 kumpulan Susukan juga memenggal kepala Jurgen Kantner yang diculik dari kapal layarnya di selatan Filipina.

"Ada kemungkinan kuat bahawa Susukan juga dalang kepada pemenggalan tebusan Malaysia pada tahun 2015, Bernard Then yang diculik di Sabah di Malaysia," kata Arevalo.

Pihak berkuasa berkata, Susukan pergi ke Davao, berhampiran tempat tebusan Kanada diculik untuk mendapatkan lengan palsu selepas kehilangan sebelah tangannya akibat bertempur dengan pasukan keselamatan.

Polis berkata, mereka menjumpainya di rumah pemimpin pemberontak, Nur Misuari ,yang sedang menunggu perbicaraan.

Walaupun terdapat tuduhan ke atasnya, Misuari mendapat kebenaran kerajaan untuk tinggal di rumah dan melakukan perjalanan.

Presiden, Rodrigo Duterte meminta pertolongan Misuari tahun lalu untuk melakukan rundingan perdamaian dengan pelbagai kumpulan bersenjata di selatan negara itu yang bermasalah serta membantu rundingan pembebasan tebusan Abu Sayyaf. - AFP

Berita Harian X