Isnin, 20 Julai 2020 | 11:17am
gambar fail menunjukkan bendera China dikibarkan pada struktur di bina atas pelantar di Mischief Reef, kepulauan Spratly. - Foto AFP
gambar fail menunjukkan bendera China dikibarkan pada struktur di bina atas pelantar di Mischief Reef, kepulauan Spratly. - Foto AFP

Vietnam tegaskan kedaulatan terhadap kepulauan Spratly, Paracel

HANOI: Vietnam dakwa memiliki asas perundangan dan bukti sejarah untuk menyokong tuntutan kedaulatan ke atas kepulauan Spratly dan Paracel serta menggesa semua negara menghormati undang-undang antarabangsa.

Jurucakap kementerian luar, Le Thi Thu Hang, membuat kenyataan itu pada satu sidang media, sebagai reaksi terhadap ciapan Twitter jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying.

Ia susulan kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, yang menggesa China menghentikan tuntutan haram maritim dan kegiatan di perairan yang menyaksikan tuntutan bertindih pelbagai negara.

Katanya, tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa, khususnya perintah dikeluarkan The Hague pada 2016.

Chunying mendakwa kegiatan penduduk China di kepulauan itu sudah bermula seawal 2,000 tahun lalu dan mereka secara sah memperoleh kepulauan Nansha serta Xisha dari Jepun, sekali gus membolehkan semua aktiviti dijalankan.

Nansha dan Xisha adalah nama diberikan China kepada gugusan kepulauan Spratly dan Paracel.

Vietnam menguasai secara sah kedua kepulauan berkenaan, sehingga Paracel diambil secara haram oleh pasukan China pada 1974, selain beberapa bahagian kepulauan Spratly.

Sehubungan itu, Hang menegaskan semua negara bertanggungjawab menghormati prinsip asas perundangan antarabangsa.

"Hormati perintah perundangan di laut dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) 1982 mengenai Peraturan Laut (UNCLOS), ini penting bagi kekalkan keamanan, kestabilan, kerjasama serta pembangunan di laut.

"Vietnam berpendapat, UNCLOS 1982 menggariskan rangka kerja perundangan, mencakupi segala kegiatan di laut dan mengalu-alukan semua negara yang menyokong pendirian ini," katanya.

Beberapa negara Asean lain yang turut mempunyai tuntutan terhadap kepulauan itu dan Laut Cina Selatan turut menyatakan pendirian menyusuli kenyataan Pompeo.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata semua negara mesti mematuhi undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, turut mengeluarkan kenyataan kekal menegaskan pendirian negara yang mahu bekerjasama memastikan keselamatan dan kestabilan di Laut Cina Selatan.

Tambah beliau, semua isu berkaitan laut harus diselesaikan secara aman berpandukan undang-undang antarabangsa. - AGENSI

Berita Harian X