Sabtu, 4 Julai 2020 | 8:10pm
Petugas kesihatan sukarela, Naowarat Yangpu (kanan) memeriksa suhu badan penduduk kampung di daerah Bang Phae, Wilayah Ratchaburi, Thailand. - Foto BERNAMA
Petugas kesihatan sukarela, Naowarat Yangpu (kanan) memeriksa suhu badan penduduk kampung di daerah Bang Phae, Wilayah Ratchaburi, Thailand. - Foto BERNAMA

COVID-19: Thailand catat 5 kes baharu, hari ke-40 tanpa jangkitan tempatan

BANGKOK: Thailand mencatatkan lima kes baharu COVID-19, kesemuanya adalah rakyat negara itu yang kembali dari luar negara dan sifar kematian, selain menandakan hari ke-40 berturut-turut tanpa jangkitan tempatan.

Sejak penularan wabak itu dalam Januari, Thailand merekodkan 3,185 kes dengan 58 kematian.

Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) berkata lima pesakit baharu itu terdiri daripada tiga pelajar lelaki yang pulang dari Sudan, seorang ahli terapi urutan lelaki yang tiba dari Kuwait dan seorang guru wanita yang kembali dari United Kingdom.

Sementara itu, satu tinjauan oleh Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) dan Majlis Pelancongan Thailand (TCT) mendapati majoriti rakyat tempatan bersetuju dengan pelan "gelembung perjalanan" untuk membuka pintu sempadan kepada pelancong asing.

Tinjauan ke atas 3,000 orang tempatan dan pengusaha pelancongan dalam lapan wilayah pelancongan menunjukkan 82.9 peratus bersetuju dengan pelan "gelembung perjalanan" yang mengehadkan bilangan pelancong yang masuk sehari.

Kira-kira 74 peratus warga tempatan mahukan kerajaan mengenakan peraturan ketat ke atas pelancong asing yang masuk ke Thailand, termasuk mendapatkan sijil kesihatan bagi membuktikan mereka bebas COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum ketibaan.

Warga tempatan juga meminta supaya angka kemasukan pelancong dinaikkan daripada asalnya 1,000 ke 2,000 orang sehari bagi membantu melonjakkan ekonomi Thailand, kata Gabenor TAT Yuthasak Supasorn, seperti di petik dalam laporan akhbar, Bangkok Post.

Media tempatan melaporkan Thailand dijangka membuka sempadan kepada pelancong asing seawal-awalnya dalam bulan Ogos.

TCT mengunjurkan Thailand menerima ketibaan lapan juta pelancong asing tahun ini, turun 80 peratus daripada ketibaan 39.8 juta pelancong tahun lalu.

Semasa pandemik COVID-19 penerbangan antarabangsa masih tidak dibenarkan di Thailand.

Bagaimanapun, 11 kumpulan penumpang termasuk pemastautin tetap, pasangan dan anak kepada pemegang pas kerja, warga asing yang berkahwin dengan rakyat Thai dan warga asing yang ingin mendapatkan rawatan di negara itu, dibenarkan masuk sejak 1 Julai. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X