Selasa, 2 Jun 2020 | 6:33pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: 544 kes baharu di Singapura, jumlah keseluruhan 35,836

SINGAPURA: Singapura yang memasuki fasa pertama pembukaan semula ekonominya hari ini, melaporkan 544 kes positif baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 35,836 kes.

Kementerian Kesihatan republik itu berkata, data setakat 12 tengah hari ini menunjukkan kebanyakan kes membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama dan hanya empat kes jangkitan dalam komuniti.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat Isnin, Singapura mengklasifikasikan 1,685 sebagai kes jangkitan dalam komuniti, 580 kes import dan 33,027 kes lagi membabitkan pekerja asing tinggal di asrama.

Seramai 22,466 pesakit atau kira-kira 64 peratus daripada 35,292 kes keseluruhan setakat semalam telah pulih sepenuhnya.

Kementerian itu berkata, 12,458 kes yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat tengah hari semalam, 344 kes masih dirawat di hospital dengan tujuh di unit rawatan rapi, sementara 24 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.

Tiga kluster baharu dikenal pasti pada Isnin, kesemuanya membabitkan asrama iaitu HSJV Dormitory di 33A Tanah Merah Coast Road; 10, Tuas South Street 12; dan 109, Tuas View Walk 1.

Kluster terbesar di republik itu, S11 Dormitory @Punggol merekodkan jumlah keseluruhan 2,711 kes positif, sementara asrama terbesar di Singapura, Sungei Tengah Lodge di 500, Old Choa Chu Kang Road, mencatatkan 1,989 kes.

Selepas berakhirnya pelaksanaan pemutus rantaian selama lapan minggu pada Isnin, Singapura kini memulakan pendekatan terkawal bagi menyambung semula aktiviti secara selamat menerusi tiga fasa iaitu Fasa Satu (Pembukaan Semula Secara Selamat) bermula hari ini, Fasa Dua (Peralihan Secara Selamat) dan Fasa Tiga (Negara Selamat). - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X