Jumaat, 22 Mei 2020 | 10:38pm
UMAT Islam membeli belah ketika ditemui di Narathiwat. - Foto AFP
UMAT Islam membeli belah ketika ditemui di Narathiwat. - Foto AFP

Umat Islam di Thailand sambut Aidilfitri pada Ahad

BANGKOK: Umat Islam di Thailand akan menyambut Aidilfitri pada Ahad ini, kata Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon.

"Setelah disahkan yang anak bulan baharu tidak kelihatan lewat petang ini, maka hari pertama Syawal jatuh pada Ahad," katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan malam ini.

Umat Islam Thai, majoritinya di selatan negara itu - Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla - akan meraikan Aidilfitri dalam normal baharu susulan pandemik COVID-19.

Solat sunat Aidilfitri hanya dibenarkan di masjid di kawasan yang tiada jangkitan dan perlu mengikuti garis panduan kesihatan yang ketat bagi membendung wabak.

Pada 17 Mei lalu, Aziz berkata anggota jemaah perlu memakai pelitup separuh muka, berwuduk di rumah dan membawa sejadah sendiri.

Beliau juga berkata solat sunat Aidilfitri harus diringkaskan kepada 20 minit sahaja selain larangan mengadakan jamuan di masjid serta berkumpul bersama keluarga dan menziarahi kubur. – BERNAMA

Berita Harian X