Sabtu, 16 Mei 2020 | 11:30pm

COVID-19: Thailand sambung larangan penerbangan antarabangsa 30 Jun

BANGKOK: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) hari ini meneruskan larangan terhadap ketibaan penumpang penerbangan antarabangsa sehingga 30 Jun ini, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop berkata, larangan tersebut dikecualikan kepada pesawat kerajaan atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan atas sebab teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan juga pesawat kargo.

"Larangan ke atas penerbangan penumpang antarabangsa ke Thailand akan disambung mulai 1 Jun hingga 30 Jun ini. Semua kebenaran yang telah diberikan pada tempoh tersebut akan dibatalkan.

"Penumpang yang tiba menggunakan penerbangan yang dikecualikan adalah tertakluk kepada langkah-langkah mengikut Undang-Undang Penyakit Berjangkit, seperti kuarantin 14 hari, dan peraturan di bawah perintah kecemasan bagi negara di bawah dekri darurat," katanya.

Larangan tersebut mula dikuatkuasakan pada 4 hingga 6 April lalu, sebelum dilanjutkan ke 18 April dan kemudiannya disambung daripada 30 April hingga 31 Mei ini.

Sehingga kini, lima syarikat penerbangan telah memulakan semula penerbangan dalam negeri sejak 1 Mei lalu di 17 lapangan terbang di Thailand.

Dengan situasi jangkitan COVID-19 di Thailand terus bertambah baik sejak pertengahan April, Thailand meneruskan dekri darurat sehingga 31 Mei ini.

Thailand hari ini sekali lagi mencatatkan kes baharu jangkitan COVID-19 dan kematian 'sifar', mengekalkan jumlah kes keseluruhan 3,025 dengan 56 kematian. – BERNAMA

Berita Harian X