Ahad, 10 Mei 2020 | 10:28pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Thailand terus catat kes baharu satu angka

BANGKOK: Thailand hari ini secara rasmi melaporkan lima kes baharu COVID-19, iaitu hari kelima berturut-turut kes baharu harian mencatatkan satu angka dan sifar kematian menjadikan jumlah keseluruhan 3,009 kes dan jumlah kematian kekal 56.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin, berkata daripada lima kes baharu itu, tiga membabitkan rakyat Thailand yang kembali dari luar negara - seorang wanita berusia 41 tahun yang kembali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun, yang kembali dari Pakistan.

Beliau berkata, dua lagi kes mempunyai kaitan dengan kes yang disahkan sebelumnya - satu di Bangkok dan satu lagi di wilayah selatan Narathiwat.

Bagaimanapun, beliau berkata angka hari ini mengecualikan empat kes positif yang dikesan di pulau peranginan Phuket dan angka itu akan dimasukkan dalam perkiraan esok.

"Memandangkan situasi COVID-19 di Thailand semakin bertambah baik, Perdana Menteri, Jen Prayuth Chan o-cha, akan mempengerusikan mesyuarat pada 15 Mei untuk memuktamadkan perniagaan dan tempat yang akan dibuka pada fasa kedua dengan mengurangkan sekatan.

"Kesihatan dan keselamatan awam akan menjadi keutamaan kerajaan berbanding ekonomi," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Thailand telah melanjutkan perintah darurat untuk memerangi pandemik itu sehingga 31 Mei. Bagaimanapun pada 3 Mei lalu, Thailand membuka semula enam jenis perniagaan dan tempat di seluruh negara itu dengan garis panduan untuk mengelakkan gelombang kedua jangkitan COVID-19.

Ia adalah pasar, tempat makan di luar pusat membeli-belah, perniagaan borong dan runcit, taman dan kemudahan sukan luaran, kedai gunting rambut dan salun rambut (hanya terhad untuk gunting, syampu dan meniupkeringkan rambut) dan kedai dandanan dan penginapan haiwan peliharaan.

Langkah pencegahan termasuk larangan ke atas semua penerbangan antarabangsa memasuki negara itu, perintah berkurung dari 10 malam hingga 4 pagi, larangan perjalanan rentas wilayah dan perhimpunan besar-besaran di bawah perintah darurat itu.

Thailand dijangka mengurangkan sekatan fasa kedua termasuk pembukaan semula premis yang lebih besar seperti pusat membeli-belah dan gedung serbaneka pada 17 Mei. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X