Rabu, 6 Mei 2020 | 8:12pm

COVID-19: Thailand rekod satu kes baharu, satu kematian

BANGKOK: Thailand merekodkan satu kes baharu COVID-19 dan satu kematian membabitkan seorang pengurus hotel di wilayah selatan Phang-nga, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 2,989 dengan 55 kematian sejak penularan wabak itu Januari lalu.

Lelaki warga Australia berumur 69 tahun itu mengalami jangkitan paru-paru dan komplikasi buah pinggang serta disahkan meninggal dunia semalam.

Sementara itu, kes baharu itu membabitkan seorang wanita yang pulang dari Russia pada 3 Mei.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin, berkata seramai 12,847 warga Thailand yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin selama 14 hari di fasiliti negara itu dari 21 April sehingga semalam.

"Seramai 3,921 telah selesai menjalani kuarantin dan pulang ke rumah manakala 85 individu disahkan positif COVID-19," katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini, hari ini.

Setakat ini, seramai 173 pesakit sedang dirawat di hospital dan 2,761 individu telah discaj dan pulang ke rumah.

Sementara itu, Thaweesilp berkata Jabatan Sains Perubatan di Bangkok mengesah 40 kes yang disyaki dijangkiti di wilayah selatan Yala pada Isnin, negatif COVID-19.

Pada Isnin, Gabenor Yala, Chaiyasit Panitpong, berkata 40 kes baharu dikesan di empat daerah di Yala iaitu Bannang Sata, Jaha, Raman dan Mueng Yala.

Bagaimanapun, sampel yang diambil untuk ujian kedua pada hari berikutnya didapati negatif. Ujian ketiga dijalankan Jabatan Sains Perubatan di Bangkok untuk pengesahan.

Sementara itu, Gabenor Pattani, Kraisorn Visitwong berkata pihak berkuasa kesihatan sedang mengesan kes COVID-19 di kampung wilayah selatan Pattani berikutan 22 penduduk kampung dijangkiti virus itu.

"Sejumlah 1,500 penduduk kampung dari To Chood akan menjalani ujian COVID-19," katanya.

Setakat ini, Pattani merekodkan 79 kes positif COVID-19. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X