Isnin, 4 Mei 2020 | 3:07pm
Lori Pertubuhan Palang Merah Indonesia, melakukan semburan cecair pembasmi kuman di Jakarta yang masih di bawah perintah berkurung akibat COVID-19. - Foto AFP
Lori Pertubuhan Palang Merah Indonesia, melakukan semburan cecair pembasmi kuman di Jakarta yang masih di bawah perintah berkurung akibat COVID-19. - Foto AFP

Kematian COVID-19 di Indonesia mungkin jauh lebih tinggi

JAKARTA: Angka kematian sebenar akibat COVID-19 di Indonesia dianggarkan jauh lebih tinggi berbanding laporan rasmi, berikutan tidak mendapat laporan tepat daripada pihak berkuasa wilayah.

Difahamkan, beberapa daerah di republik itu mencatatkan ratusan kematian dalam kalangan pesakit di bawah pemantauan (PDP) dan orang di bawah pemantauan (ODP), yang dipercayai dijangkiti wabak itu tetapi tidak dilaporkan.

PDP merujuk kepada pesakit menunjukkan gejala COVID-19 yang belum disahkan kerana masih menunggu ujian dan ODP pula adalah mereka yang disyaki dijangkiti tetapi tidak menunjukkan simptom.

Angka kematian harian yang dikeluarkan kerajaan pusat merekodkan 773 kes pada Selasa lalu, namun jumlah itu tidak termasuk pesakit PDP atau ODP.

Bagaimanapun, baru-baru ini kerajaan mula mengumumkan jumlah pesakit PDP dan ODP di seluruh negara, sekali gus membuktikan wujud perbezaan ketara.

Berdasarkan angka rasmi yang disahkan kerajaan setakat semalam, Indonesia mencatatkan 11,192 kes jangkitan dan 845 kematian akibat COVID-19

Banten, wilayah bersebelahan Jakarta, mendedahkan menerusi laman sesawangnya bahawa seramai 144 daripada 1,382 pesakit PDP disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, kepulauan Jawa Tengah turut melaporkan 235 kematian daripada 2,769 pesakit PDP, selain 53 kematian dalam kalangan 18,059 ODP.

Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding angka kematian dalam kalangan pesakit positif COVID-19 di kedua-dua daerah, dengan masing-masing merekodkan 41 dan 90 kematian Selasa lalu.

Setakat ini, Jakarta tidak menyediakan sebarang data, namun mendedahkan seramai 1,666 pesakit dikebumikan mengikut protokol COVID-19 pada 24 April lalu, jauh lebih tinggi berbanding jumlah rasmi iaitu 370 kematian.

Jawa Tengah pula tidak mengemukakan angka sebenar tetapi Jakarta Post melaporkan, kadar kematian akibat COVID-19 mungkin mencecah 200 orang, namun rekod rasmi hanya menunjukkan 58 kematian.

Yogyakarta merekodkan tujuh kematian dalam kalangan pesakit yang disyaki positif COVID-19.

Sulawesi Selatan pula melaporkan 81 pesakit yang disyaki dijangkiti COVID-19 meninggal dunia, walaupun hanya merekodkan 37 kematian secara rasmi. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X