Jumaat, 24 April 2020 | 6:19pm
ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di Geylang Serai. - Foto AFP
ORANG ramai memakai topeng muka ketika ditemui di Geylang Serai. - Foto AFP

COVID-19: Jumlah di Singapura lepasi angka 12,000

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan tambahan 897 kes jangkitan COVID-19, menjadikan keseluruhan di republik tersebut kini 12,075.

Kementerian itu menyebut majoriti besar kes baharu hari ini, membabitkan pekerja asing yang menghuni asrama pekerja, manakala hanya 13 kes membabitkan warganegara Singapura ataupun Penduduk Tetap.

MOH dalam satu kenyataan menyatakan, mereka masih mendapatkan butiran penuh kes, dan kemas kini maklumat akan diberikan kemudian.

Sehingga tengah hari Khamis, Singapura mencatatkan 1,037 kes baharu COVID-19 tanpa kes import, 22 kes komuniti, manakala 30 membabitkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama pekerja.

95 peratus kes baru semalam, membabitkan penghuni asrama pekerja.

Dalam kenyataan yang lebih lengkap dikeluarkan pada lewat malam Khamis MOH berkata, mereka mencatatkan pertambahan kes yang banyak kerana melakukan lebih banyak ujian saringan.

"Kebanyakan kes mempunyai gejala ringan dan dipantau di fasiliti isolasi komuniti atau wad biasa di hospital. Tiada dalam kalangan mereka di unit rawatan rapi," katanya.

MOH menyebut, 75 peratus kes baru semalam, adalah berkaitan kluster sedia ada, manakala selebihnya masih menunggu pengesanan kontak.

Sepanjang minggu lepas antara 16-22 April, kementerian itu telah menyelesaikan kaitan untuk 1,024 kes yang sebelum ini belum ditemui kaitannya.

Sementara itu, sehingga kini 924 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau pusat isolasi komuniti, 26 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, manakala 12 telah meninggal dunia.

Sehingga 23 April, enam lagi kluster baru dikenal pasti di Singapura yang kebanyakannya membabitkan asrama pekerja iaitu, Blue Stars Dormitory, Hulett Dormitory, Seatown Dormitory, Woodlands Dormitory, 12 Loyang Drive dan 39 Kadut Loop.

Kluster terbesar Singapura, S11 Dormitory @ Punggol sehingga kini mempunyai 2,234 kes disahkan.

Sehingga semalam daripada 11,178, Singapura mengklasifikasikan 9,076 kes penghuni asrama pekerja, manakala 432 membabitkan pemegang permit kerja tidak tinggal di asrama, 1,101 kes komuniti dan 569 lagi kes import. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X