Jumaat, 10 April 2020 | 10:11am

Pengeluar utama bincang kejatuhan harga minyak

SINGAPURA: Kejatuhan mendadak harga minyak hari ini membuatkan pengeluar minyak utamanya berusaha memuktamadkan perjanjian penting dalam menghadapi kesan akibat pandemik COVID-19.

Kontrak minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) didagangkan 9.3 peratus lebih rendah pada AS$22.76 setong.

Kontrak penanda aras antarabangsa Brent pula turun 4.1 peratus kepada AS$31.48 (RM136) setong.

Kejatuhan harga hampir dua dekad itu berikutan permintaan semakin berkurangan disebabkan kegiatan ekonomi merosot akibat pandemik COVID-19 di samping perang harga antara Arab Saudi dan Russia.

Kumpulan pengeksport OPEC termasuk Riyadh dan sekutunya Moscow, serta rakan bukan pengeluar utama lain, mengadakan persidangan video petang semalam.

Syarikat minyak Venezuela, PDVSA, berkata Arab Saudi dan Russia mencadangkan untuk mengurangkan pengeluaran sekitar 10 juta tong sehari dan langkah itu disokong Caracas.

Ketua strategi pasaran dari AxiCorp, Stephen Innes, berkata perjanjian pengurangan pengeluaran kepada 10 juta tong sehari ‘tidak mencukupi untuk mengimbangi pasaran’ memandangkan tahap bekalan sedia ada sekarang lebih tinggi.

Katanya, pengeluar utama akan memberi tumpuan menghentikan kejatuhan harga dan kesepakatan itu sewajarnya mencukupi untuk mengatasi kelebihan bekalan dengan kapasiti bekalan yang ada di seluruh dunia. - AFP

Berita Harian X