Jumaat, 3 April 2020 | 8:57pm

COVID-19: Singapura tutup tempat kerja, sekolah selama sebulan

SINGAPURA: Singapura akan menutup sekolah dan kebanyakan tempat kerja selama sebulan sebagai sebahagian daripada langkah ketat untuk mengekang peningkatan jangkitan COVID-19, kata Perdana Menterinya.

Pengumuman itu menyebabkan penduduk tempatan berpusu-pusu ke pasar raya untuk menambah jumlah simpanan bekalan.

Singapura mendapat pujian antarabangsa dalam usahanya selama dua bulan berperang dengan virus yang telah menjangkiti lebih sejuta orang di seluruh dunia, mengelakkan langkah berkurung yang semakin biasa dilaksanakan di seluruh dunia.

Namun, pihak berkuasa berkata, rekod peningkatan jumlah jangkitan baharu minggu ini, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes dijangkiti di negara itu kepada 1,114, menunjukkan kepada keperluan untuk melaksanakan peraturan yang lebih ketat.

Pakar penyakit mengatakan, pelanggaran dalam pertahanan virus Singapura yang dipuji telah menggariskan cabaran untuk membendung pandemik itu di seluruh dunia.

"Kami telah memutuskan bahawa di sebalik mengetatkan peraturan secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang, kita perlu membuat langkah tegas sekarang, untuk mengatasi jangkitan yang semakin meningkat," kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam ucapannya.

Orang ramai berbaris panjang segera kelihatan di luar kedai di seluruh pulau itu dan penduduk mengosongkan rak walaupun pihak berkuasa mengatakan pasar raya akan tetap terbuka.

"Saya bergegas ke sini sejam lalu kerana kawan saya menghantar mesej kepada saya mengenai perintah berkurung, walaupun kini di pasar raya, ada rak sudah kosong," kata Kim Melissa Hwang, 57, menambah dia baru saja kehilangan pekerjaannya di sebuah restoran.

"Jika tidak ada kerja dan tiada makanan ... itu sangat sedih."

Hsien Loong berkata, kerajaan akan mengumumkan lebih banyak sokongan untuk isi rumah dan perniagaan pada bulan depan.

Hab kewangan dan perkapalan yang kaya itu berdepan kemelesetan terburuk dalam sejarah 55 tahun akibat pandemik COVID-19, dan kerajaan telah mengumumkan langkah-langkah bantuan menghadapi kesan virus itu tahun ini yang bersamaan 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X