Khamis, 2 April 2020 | 12:40pm
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

COVID-19: Tembak saja jika ingkar - Duterte

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi amaran tegas kepada individu yang melanggar undang-undang sepanjang tempoh perintah berkurung boleh ditembak kerana menimbulkan kekacauan.

Duterte berkata, amat penting untuk setiap rakyat memberi kerjasama dan patuh kepada arahan kuarantin kerana ia satu-satunya jalan bagi memperlahan penyebaran wabak COVID-19.

“Keadaan semakin buruk. Saya ingin menegaskan sekali lagi masalah yang dihadapi sekarang amat serius dan semua rakyat perlu mematuhi arahan.

“Saya mengarahkan polis dan askar, sekiranya didapati ada kekacauan atau ada individu yang melawan sehingga membahayakan nyawa anda, tembak mereka sehingga mati.

“Jangan menakut-nakutkan pihak berkuasa. Jangan cabar kerajaan. Anda akan kalah,” katanya dalam ucapan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Tagalog.

Al Jazeera melaporkan Duterte menyatakan sedemikian dalam mesej yang disiarkan di stesen televisyen negara berkenaan, malam tadi.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas media melaporkan beberapa kes kekacauan dan tangkapan semalam di kawasan penempatan masyarakat miskin di Manila yang tidak berpuas hati dengan bantuan makanan yang disalurkan oleh kerajaan.

Selain itu, kenyataan Duterte itu bagi melindungi petugas hospital yang didakwa berdepan penderaan fizikal dan diskriminasi ketika menjalankan tugas.

Sebelum ini, kerajaan Filipina mengarahkan penduduknya berada di rumah dan ibu negara Manila pula dikenakan sekatan pergerakan masuk dan keluar bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan bahawa ada segelintir penduduk setinggan di ibu negara itu cuba melakukan demonstrasi kerana mendakwa kekurangan bekalan makanan.

Penduduk di Quezon City di sini, umpamanya melakukan protes di lebuh raya berhampiran kawasan setinggan mereka selepas mendakwa tidak mendapat bantuan makanan sejak perintah berkurung itu dikuatkuasakan, dua minggu lalu.

Polis mengarahkan mereka pulang ke rumah, namun mereka tidak mahu berbuat demikian.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menahan 20 orang.

Setakat semalam Filipina merekodkan 2,311 kes jangkitan Covid-19 dengan 96 kematian. - Agensi


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X