Isnin, 30 March 2020 | 12:24am
PASUKAN penyelamat melihat bangkai pesawat yang meletup di lapangan terbang Manila. - Foto AFP
PASUKAN penyelamat melihat bangkai pesawat yang meletup di lapangan terbang Manila. - Foto AFP

Pesawat meletup ketika berlepas dari Manila

MANILA: Sebuah pesawat dalam misi pemindahan perubatan ke Jepun, meletup ketika mahu berlepas dari lapangan terbang di sini, hari ini, mengorbankan kesemua lapan penumpang dan kru penerbangan itu.

Menurut pihak berkuasa lapangan terbang dalam satu kenyataan, pesawat Westwind yang menuju ke Lapangan Terbang Haneda itu membawa enam kru warga Filipina bersama dua penumpang membabitkan masing-masing seorang warga Amerika dan Kanada.

Katanya, anggota bomba berkejar ke hujung landasan di mana pesawat itu dijilat api yang marak, dan berusaha memadamkan kebakaran terbabit menggunakan buih kimia.

PESAWAT yang hangus mengorbankan kesemua lapan penumpang dan kru penerbangan. - Foto AFP
PESAWAT yang hangus mengorbankan kesemua lapan penumpang dan kru penerbangan. - Foto AFP

"Malangnya, tiada di dalam pesawat itu yang selamat," kata Pengurus Besar Lapangan Terbang Manila, Ed Monreal, pada sidang media.

Susulan kejadian itu, landasan terbabit ditutup, manakala penyiasat tiba di lokasi untuk menentukan punca insiden berkenaan.

Kebanyakan pesawat penumpang sudah berminggu-minggu tidak beroperasi di lapangan terbang itu sejak kerajaan mengarahkan kuarantin di Manila dan kepulauan Luzon di Filipina bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Senator dan Ketua Palang Merah Filipina, Richard Gordon, pula memaklumkan melalui Twitter bahawa pesawat terbabit membawa tiga personel perubatan, tiga kru penerbangan, seorang pesakit serta seorang pengiring. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X