Isnin, 16 March 2020 | 5:36pm
Pekerja kesihatan menyembur cecair nyah kuman bagi membendung penularan COVID-19 di pusat pelancongan di Sanur, Bali. - Foto AFP
Pekerja kesihatan menyembur cecair nyah kuman bagi membendung penularan COVID-19 di pusat pelancongan di Sanur, Bali. - Foto AFP

COVID-19: Indonesia mansuh cukai pendapatan 6 bulan

JAKARTA: Pekerja sektor sektor pembuatan di Indonesia tidak perlu membayar cukai pendapatan selama enam bulan berikutan kelemahan ekonomi akibat COVID-19.

Kerajaan mengumumkan langkah itu bagi melindungi kegiatan ekonomi daripada terus merudum berikutan ancaman pandemik koronavirus baharu itu.

Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, berkata tindakan sementara mengecualikan bayaran cukai pendapatan pekerja sektor pembuatan itu bertujuan mengurangkan beban mereka akibat serangan wabak selesai.

Jelas beliau, sektor pembuatan melaporkan operasi terjejas teruk berikutan masalah bekalan bahan mentah di seluruh republik itu kerana lebih 50 peratus bahan berkenaan diperoleh dari China, rakan dagang terbesar Indonesia.

"Langkah ini bertujuan memberi ruang kepada mereka bagi mengurangkan kesan penularan COVID-19, kerajaan mahu mengurangkan beban mereka,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan menangguhkan cukai import dan cukai korporat selain mempercepatkan bayaran balik lebihan cukai pendapatan di bawah pakej stimulus kedua.

Bagaimanapun, Sri Mulyani enggan mendedahkan berapa banyak kehilangan pendapatan kerajaan berikutan langkah terbaru itu.

Pakar ekonomi mengunjurkan, defisit fiskal akan meningkat tahun ini berikutan peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi mengurangkan kesan negatif coronavirus.

Pada masa sama, pendapatan peringkat negeri dijangka berkurangan berbanding biasa berikutan kegiatan perniagaan yang terjejas akibat ancaman COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik Rabu lalu, sekali gus mendorong penutupan kilang, gangguan terhadap rantaian bekalan dan perjalanan.

COVID-19 yang kini menjangkiti lebih 120,000 orang dan mengorbankan lebih 4,300 nyawa di serata dunia, turut menjejaskan penganjuran acara sukan dan persidangan.

Indonesia melaporkan kematian pertama akibat coronavirus itu Rabu lalu selain 34 individu disahkan positif Covid-19. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X