Ahad, 1 March 2020 | 6:54pm
Remaja Thailand di pusat bandar Bangkok memakai topeng muka berikutan penularan COVID-19. Thailand melaporkan 40 kes jangkitan baharu tetapi khuatir mungkin ada yang terlepas pandang. Foto AFP
Remaja Thailand di pusat bandar Bangkok memakai topeng muka berikutan penularan COVID-19. Thailand melaporkan 40 kes jangkitan baharu tetapi khuatir mungkin ada yang terlepas pandang. Foto AFP

Thailand, Australia catat kematian pertama COVID-19

BANGKOK: Thailand dan Australia, masing-masing mencatatkan kematian pertama akibat jangkitan coronavirus baharu COVID-19 hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Suwanchai Wattanayingcharoen, berkata seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga penghidap demam denggi meninggal dunia selepas dijangkiti virus terbabit.

“Ini adalah kes jangkitan tempatan yang mana mangsa bekerja di sektor peruncitan dan terdedah kepada ramai pelancong China pada awal penularan wabak terbabit.

“Mangsa meninggal dunia akibat kegagalan beberapa organ dalaman,” katanya pada sidang media.

Thailand setakat ini mencatatkan 42 kes COVID-19 sejak Januari lalu, dengan 30 pulih daripada jangkitan itu manakala 11 lagi masih dirawat di hospital.

Di Melbourne, bekas penumpang kapal persiaran, Diamond Princess yang dikuarantin di perairan Jepun sebelum ini, meninggal dunia di sebuah hospital di Perth.

Mangsa berusia 78 tahun itu antara 150 rakyat Australia yang dibawa pulang dari kapal persiaran berkenaan.

“Ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan ini adalah kematian pertama akibat COVID-19 di Australia,” kata Ketua Pegawai Kesihatan wilayah Australia Barat, Andrew Robertson.

Sementara itu, Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, melaporkan kes pertama positif jangkitan COVID-19 membabitkan rakyatnya yang pulang dari Iran.

Menurut status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Pashinyin berkata mangsa membabitkan seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil. Pihak berkuasa merancang untuk mengasingkan individu yang pernah berhubungan dengannya,” katanya.

Sementara itu, Korea Selatan melaporkan 586 kes baharu COVID-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,736 kes setakat ini manakala kadar kematian mencecah 18 kes.

Virus yang berpunca dari Wuhan China pada akhir tahun lalu itu kini sudah merebak ke lebih 60 negara dengan hampir 3,000 orang maut selain lebih 87,000 mangsa disahkan positif dijangkiti COVID-19. - AGENSI

Berita Harian X