Rabu, 19 Februari 2020 | 6:19pm
Dianggarkan, 500 orang dijangka dibenarkan keluar dari kapal persiaran Diamond Princess mulai hari ini. - Foto AFP
Dianggarkan, 500 orang dijangka dibenarkan keluar dari kapal persiaran Diamond Princess mulai hari ini. - Foto AFP

500 penumpang Diamond Princess dibenarkan keluar kapal

TOKYO: Penumpang kapal persiaran Diamond Princess yang dijangkiti COVID-19 dan diarah berlabuh di Pelabuhan Yokohama bagi tujuan kuarantin, dilihat mulai turun dari kapal hari ini, berdasarkan rakaman televisyen tempatan.

Dianggarkan, 500 orang dijangka dibenarkan keluar dari kapal persiaran mewah itu mulai hari ini dan prosesnya mungkin berakhir sehingga Jumaat, memetik sumber rasmi Kementerian Kesihatan negara itu.

NHK pula melaporkan mereka yang tinggal sebilik dengan penumpang yang positif dijangkiti COVID-19 dikehendaki terus berada di dalam kapal selama 14 hari selepas rakannya meninggalkan bilik berkenaan.

Penyampai berita NHK memetik Menteri Kesihatan, Katsunobu Kato yang dilaporkan berkata kepada panel Parlimen: “Agak malang, muncul kes jangkitan tetapi kami mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah kes serius termasuk menghantar mereka yang dijangkiti ke hospital.”

Kapal persiaran itu tiba di perairan Jepun pada 3 Februari lalu membawa lebih 3,700 penumpang yang separuh daripadanya adalah warga Jepun dan anak kapal dari lebih 50 negara.

Ia dikuarantin selepas pihak berkuasa menemui penumpang yang turun dari bot di Hong Kong ketika pelayaran kapal itu, didapati positif virus berkenaan.

Lebih 540 penumpang kapal persiaran itu dilaporkan dijangkiti COVID-19 dan kebanyakannya dihantar ke hospital untuk dirawat

Sementara itu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) berkata, lebih 100 warga negara itu masih berada di kapal berkenaan.

“Selepas dibenarkan keluar dari kapal, mereka dikehendaki menunggu 14 hari untuk dipastikan bebas simptom atau virus berkenaan sebelum dibenarkan pulang ke Amerika,” kata CDC. - REUTERS

Berita Harian X