Rabu, 12 Februari 2020 | 5:28pm

Indonesia kritik tindakan AS pertikai tiada kes COVID-19

JAKARTA: Indonesia mengkritik kajian Amerika Syarikat (AS) yang mempersoalkan kenapa negara berpenduduk keempat paling padat di dunia itu belum lagi merekodkan kes coronavirus (COVID-19).

Coronavirus baharu yang sebelum ini dikenali sebagai 2019-nCoV, dinamakan semula sebagai COVID-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Virus itu membunuh lebih 1,100 mangsa di China dan menular ke puluhan negara lain di seluruh dunia, namun tiada kes positif dilaporkan di negara dengan 260 juta penduduk itu sejak wabak berkenaan mula merebak Disember lalu.

Kajian Universiti Harvard (Havard) menyatakan, Indonesia mungkin ada kes yang tidak dapat dikesan kerana sepatutnya negara itu berisiko terkena tempias COVID-19 berikutan rangkaian hubungan udaranya yang meluas dengan China terutama Wuhan, pusat wabak berkenaan.

Kajian Harvard itu turut mengesyorkan supaya usaha pengawasan di Indonesia sepatutnya segera ditingkatkan.

Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto, menyifatkan kajian Harvard itu sebagai satu penghinaan berikutan negaranya mempunyai alatan kesihatan yang lengkap untuk pemeriksaan.

"Mereka boleh keliru, tetapi hakikatnya, kita tidak mempunyai sebarang kes...saya hanya memberitahu anda perkara yang sebenarnya.

"Kita mengharapkan supaya tiada sebarang kes direkodkan di sini dan kita akan terus berdoa, namun pada masa sama, kita tetap berwaspada pada tahap tertinggi, " katanya kepada pemberita.

Indonesia, yang menerima kunjungan lebih dua juta pelancong China setiap tahun dan menjadi negara 'tuan rumah' bagi ribuan pekerja asing, sudah menyekat semua penerbangan keluar masuk ke China sebagai tindakan mengekang penularan wabak berkenaan.

Pada masa sama, Putranto berkata kerajaan sudah memeriksa puluhan kes yang disyaki, namun tiada yang positif dikesan.

"Pada dasarnya kita mengikuti standard piawaian antarabangsa. Kita tidak menyembunyikan apa-apa, " tegas beliau.

Terdahulu, WHO menyatakan bahawa pihaknya bimbang dengan negara berisiko tinggi dan mempunyai sistem kesihatan lemah yang mungkin mempunyai kekurangan kemudahan untuk mengesan kes. - AFP

Berita Harian X