Rabu, 15 Januari 2020 | 6:44pm
Kira-kira 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejurus kemuncak tindakan ketenteraan oleh Myanmar pada 2017. - Foto fail AFP
Kira-kira 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejurus kemuncak tindakan ketenteraan oleh Myanmar pada 2017. - Foto fail AFP

ICJ umum keputusan pembunuhan etnik Rohingya minggu depan

YANGON: Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan membuat keputusan minggu depan sama ada langkah kecemasan perlu dikenakan terhadap Myanmar berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya.

Kementerian Keadilan Gambia membuat pengumuman menerusi ciapan di Twitter berkata, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan menyampaikan keputusannya pada 23 Januari ini.

Negara kecil majoriti Islam di Afrika itu mengemukakan kes terhadap Myanmar di ICJ dengan sokongan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kanada dan Belanda.

Susulan daripada itu, pemimpin Myanmar yang juga penerima Anugerah Nobel Keamanan, Ang San Suu Kyi mempertahankan tindakan tenteranya ke atas etnik minoriti Rohingya di The Hague.

Gambia menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Pembunuhan Beramai-ramai PBB 1948 ketika pendengaran kes itu berlangsung pada Disember tahun lalu.

Gambia mendakwa, wujud risiko pembunuhan beramai-ramai yang serius dan perlunya langkah kecemasan diambil terhadap Myanmar bagi menghalang negara itu daripada berterusan melakukan jenayah dan cubaan menghapuskan bukti.

Bagaimanapun tidak jelas apakah langkah kecemasan yang dimaksudkannya.

Kira-kira 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejurus kemuncak tindakan ketenteraan oleh Myanmar pada 2017 dengan dakwaan berlaku kes rogol, membakar dengan sengaja dan pembunuhan beramai-ramai.

Kira-kira 600,000 Rohingya masih berada di wilayah Rakhine yang mana Amnesty International (Amnesty) menggelarkannya sebagai syarat aparteid. - AFP

Berita Harian X