Selasa, 17 Disember 2019 | 9:10pm

Kumpulan Islam Indonesia nafi terpengaruh usaha lobi kerajaan China

JAKARTA : Kumpulan Islam terbesar di Indonesia menafikan usaha melobi oleh Beijing, termasuk menyediakan lawatan ke Xinjiang akan berhasil dalam mempengaruhi pendirian mereka berhubung isu minoriti Uighur.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia menganggarkan antara 1 hingga 2 juta penduduk, sebahagian besar adalah daripada etnik minoriti Uighur ditahan dalam keadaan buruk di Xinjiang, iaitu antara kempen memerangi anti pengganas oleh Beijing.

China berulang kali menafikan terbabit memberi layanan buruk terhadap minoriti itu, manakala Indonesia pula dilihat sebagai kurang lantang menyuarakan isu berkenaan berbanding perkara lain yang berlaku ke atas umat Islam, khususnya nasib menimpa penduduk Palestin.

Setiausaha Agung kumpulan Islam kedua terbesar Indonesia dikenali sebagai Muhammadiyah, Abdul Mu’ti menafikan ada menerima sumbangan dari China ketika lawatan di Xinjiang yang disertai Februari lalu dan menegaskan, mereka menolak sebarang bentuk penindasan serta pencabulan hak asasi manusia oleh sesiapa atau kepada mana-mana individu.

Wall Street Journal dalam laporannya minggu lalu menggambarkan, lawatan terbabit adalah kempen untuk meyakinkan pihak berkuasa agama di Indonesia serta media bahawa kem pendidikan semula di XInjiang hanya satu usaha baik dalam mewujudkan latihan pekerjaan dan membasmi ekstremism.

Dalam satu sidang media semalam, Mu’ti menyifatkan semua pandangan yang menganggap mereka dipengaruhi dakyah China sebagai ‘tuduhan tidak berasas’.

Pengarah laman web kumpulan Islam terbesar Indonesia iaitu Nadhlatul Ulama (NU), Savic Ali turut menafikan mereka terpengaruh selepas menyertai lawatan berkenaan.

Indonesia adalah negara majoriti Islam terbesar dunia dan NU serta Muhammadiyah masing-masing mendakwa memiliki kira-kira 120 juta ahli.

“NU tidak memiliki sebarang hubungan istimewa dengan China dan pendirian kami tidak dipengaruhi oleh sebarang sumbangan atau lawatan,” katanya sambil menambah, NU tidak memiliki maklumat terperinci berhubung keadaan minoriti Uighur di Xinjiang.

Sementara itu jurucakap Kementerian Luar, Teuku Faizasyah berkata, Indonesia pernah mengeluarkan kenyataan mengenai minoriti Uighur sebelum ini. - Reuters

Berita Harian X