Sabtu, 30 November 2019 | 1:47pm
23 mayat itu tiba di Lapangan Terbang Noi Bai, Hanoi awal pagi tadi. - Foto EPA
23 mayat itu tiba di Lapangan Terbang Noi Bai, Hanoi awal pagi tadi. - Foto EPA

Baki 23 mayat pendatang Vietnam selamat tiba di Hanoi

HANOI: Baki mayat 39 pendatang Vietnam yang ditemui mati dalam trak sejuk beku di London bulan lalu selamat tiba di Vietnam hari ini, mengakhiri saga penuh tragik menyelubungi komuniti miskin di negara ASEAN itu.

Kesemua 23 mayat itu tiba di Lapangan Terbang Noi Bai, Hanoi awal pagi tadi, kata seorang pegawai kerajaan tempatan.

Agensi Berita Vietnam iaitu media rasmi negara melaporkan, tujuh mayat dibakar terlebih dahulu di Britain sebelum diterbangkan pulang.

Fasa pertama penghantaran membabitkan 16 mayat dilakukan Rabu lalu dan disambut ahli keluarga serta rakan sambil memegang kuntuman bunga mawar putih.

Penemuan kesemua mayat berkenaan meraih perhatian dunia terhadap sindiket penyeludupan manusia, khususnya dari kalangan komuniti miskin di Asia, Afrika dan Asia Barat yang mahu mencari kehidupan lebih baik di Eropah.

Susulan kejadian, polis Vietnam menahan 10 suspek yang memiliki kaitan dengan kes berkenaan.

Pada Isnin lalu pula, pemandu trak itu mengaku bersalah membantu penyeludupan manusia dan pemilikan harta secara haram.

Masalah ketiadaan pekerjaan, bencana alam dan janji palsu penyeludup adalah faktor mendorong rakyat negara itu mengambil risiko memasuki negara Eropah secara haram.

Nguyen Dinh Gia melihat pusara yang dibuat untuk anaknya, Nguyen Dinh Long, di Ha Tinh, Vietnam. - Foto Reuters
Nguyen Dinh Gia melihat pusara yang dibuat untuk anaknya, Nguyen Dinh Long, di Ha Tinh, Vietnam. - Foto Reuters

Nguyen Dinh Gia, bapa kepada seorang mangsa dikenali sebagai Nguyen Dinh Long berkata, anaknya meninggalkan kampung halaman dengan harapan untuk mencari kehidupan lebih baik di Britain.

“Saya tak tahu bagaimana hendak menggambarkan kehilangan ini namun kepulangan mayat beliau membantu mengurangkan sedikit kesedihan kami,” katanya selepas mayat Dinh Long selamat dikebumikan, Khamis lalu. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X