Rabu, 20 November 2019 | 10:36am
Nguyen Dinh Gia, yang mana anak lelakinya Nguyen Dinh Luong antara yang maut berkata, keputusan kerajaan menyebabkan keluarganya merasa terbeban dan dalam kesakitan. -Foto AFP

Keluarga mangsa trak Vietnam terpaksa meminjam bawa pulang jasad, abu

HANOI: Sesetengah keluarga daripada 39 pendatang Vietnam yang ditemui mati dalam trak sejuk beku di Britain bulan lalu terpaksa mengambil pinjaman daripada kerajaan untuk membawa pulang mayat orang tersayang.

Kementerian Luar Vietnam berkata, mereka akan membantu membawa pulang jasad atau abu mangsa kembali namun keluarga perlu menanggung kos penghantaran pulang.

Harga membawa pulang abu dalam bekas berjumlah AS$1,774 (RM7,383.71) sementara bayaran untuk jasad dalam keranda ialah AS$2,858 (RM11,896.81), menurut dokumen rasmi dikongsi bersama keluarga dilihat AFP.

Keluarga 39 mangsa yang majoritinya berasal dari tengah Vietnam berkata, mereka terdesak membawa pulang mayat atau abu yang tersayang, hampir empat minggu selepas tragedi, walaupun beban hutang yang terpaksa ditanggung.

“Kami berada dalam kesakitan tidak tertanggung, kami hanya mahu jasadnya dikembalikan secepat mungkin.

“Kami akan membayar berapa banyak sekali pun jika saya terpaksa menjual rumah atau tanah, saya bertegas mahukan jasadnya kembali,” kata Le Minh Tuan, yang mana anak lelakinya berusia 30 tahun antara mangsa ditemui dalam kontena sejuk beku 23 Oktober lalu di Essex, United Kingdom.

Anak Minh Tuan, Le Van Ha meninggalkan isteri dan dua anak masih kecil.

Keluarga itu sudah meminjam lebih AS$30,000 (RM124,881.61) untuk menghantar Van Ha ke Eropah, sejumlah wang amat besar nilainya di wilayah Nghe An di mana purata pendapatan tahunan per kapita sekitar AS$1,200 (RM4,995.22).

Minh Tuan berkata, beliau memilih membawa pulang jasad anaknya berbanding abu supaya dapat disemadikan secara tradisional.

Pembakaran bukan amalan biasa di kawasan luar bandar Vietnam dan mayat biasanya disemadikan selepas beberapa hari kematian.

Kementerian Luar menggesa keluarga memilih membakar mayat bagi memastikan ‘kepantasan, kos rendah dan keselamatan sanitasi,’ menurut dokumen.

Ia menambah, mengikut undang-undang kerajaan Vietnam tidak wajib membayar kos penghantaran pulang. -AFP

Berita Harian X