Jumaat, 15 November 2019 | 5:20pm
Nang Tinh, yang mengajar muzik di sebuah kolej wilayah ditahan Mei lalu selepas didapati menulis dan berkongsi tulisan anti-negara dan video dalam akaun Facebook miliknya. -Foto Hiasan

Guru muzik Vietnam dipenjara 11 tahun kerana tulisan Facebook

HANOI: Sebuah mahkamah di Vietnam memenjarakan seorang guru muzik selama 11 tahun hari ini untuk siri tulisan dalam Facebook dikatakan kerajaan memusuhi negara itu.

Walaupun pembaharuan ekonomi dan keterbukaan meningkat terhadap perubahan sosial, pemerintah Vietnam, Parti Komunis mengekalkan tapisan ketat media serta tidak bertoleransi dengan kritikan.

Nguyen Nang Tinh, 43, dituduh ‘membuat dan menyebarkan maklumat serta bahan anti-negara’ dalam perbicaraan sehari di Mahkamah Rakyat di wilayah utara-tengah Nghe An, kata peguamnya, Nguyen Van Mieng.

“Dalam perbicaraan, Nang Tinh berkata, tuduhan itu tidak benar kerana akaun Facebook itu bukan miliknya.

“Pendakwa raya tetap berkeras pengguna Facebook dikenali Nguyen Nang Tinh dan anak guam saya dengan nama sama adalah individu sama,” kata Van Mieng.

Nang Tinh, yang mengajar muzik di sebuah kolej wilayah ditahan Mei lalu selepas didapati menulis dan berkongsi tulisan anti-negara dan video dalam akaun Facebook miliknya, kata polis dalam satu kenyataan.

Akhir bulan lalu, seorang arkitek berusia 54 tahun dipenjara 12 bulan atas tuduhan dia memuat naik tulisan anti-kerajaan dalam akaun Facebook miliknya, kata polis dalam kenyataan berasingan. -Reuters

Berita Harian X