Jumaat, 15 November 2019 | 7:40am
Pihak berkuasa menarik balik amaran tsunami selepas gempa bumi 7.1 magnitud melanda Kepulauan Maluku, semalam. Foto hiasan

Amaran tsunami di Kepulauan Maluku ditarik balik

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda kawasan berhampiran Kepulauan Maluku, Indonesia semalam, namun pihak berkuasa menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak kira-kira 139 kilometer di barat laut bandar Ternate, iaitu pada kedalaman 45 kilometer.

Namun, setakat ini, tiada kematian direkodkan selepas lebih 20 gempa susulan dilaporkan oleh pihak berkuasa.

Agensi geofizik Indonesia, menarik balik amaran tsunami kira-kira dua jam selepas ia dikeluarkan, apabila mengesan hanya beberapa ombak kecil di Ternate, Jailolo dan Bitung.

“Apabila gempa bumi berlaku, bekalan elektrik terus terputus dan penduduk bergegas menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.

“Sehingga kini, tiada laporan kematian dan kerosakan diterima di kawasan ini,” kata jurucakap pihak berkuasa di kawasan Halmagera, Maluku, Miftahudin kepada portal berita Tribunnews.

Sementara itu, gempa bumi itu turut dirasai penduduk di kawasan Sulawesi dan pihak berkuasa dilaporkan mengeluarkan arahan supaya penduduk menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi, selain mengelak daripada mengunjungi kawasan pantai. - Reuters

Berita Harian X