Khamis, 14 November 2019 | 6:38pm
Sam Rainsy (kiri) dan Hun Sen.

Hun Sen bebas pembangkang rancang rampasan kuasa

PHNOM PENH: Pemimpin Kemboja, Hun Sen hari ini mengarahkan pembebasan puluhan pembangkang dan aktivis yang didakwa membantu musuh ketatnya merancang rampasan kuasa.

Difahamkan, penahanan itu ada kaitan dengan cubaan pemimpin pembangkang, Sam Rainsy untuk kembali ke Kemboja dari Perancis. Beliau menetap di Perancis sejak 2015 bagi mengelak hukuman penjara yang dakwanya bermotifkan politik.

Hun Sen turut mengeluarkan waran tangkap untuk Rainsy di negara jiran menjelang kepulangannya 9 November lalu.

Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan di sempadan Thailand kerana kerajaan menganggap kepulangan Rainsy sebagai satu cubaan rampasan kuasa.

“Cubaan rampasan kuasa itu gagal dan rakyat tidak menyokongnya,” kata Hun Sen yang memerintah Kemboja sejak 1985.

Beliau berkata lebih daripada 70 aktivis pembangkang terbabit terpedaya dengan penipuan Rainsy dan akan dibebaskan dengan jaminan demi perpaduan negara.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Kemboja menarik balik hukuman tahanan rumah ke atas sekutu politik Rainsy, Kem Sokha yang juga pengasas bersama parti yang diharamkan, Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP).

Sehingga kini masih tidak jelas bagaimana Rainsy akan pulang ke Kemboja tanpa kebenaran Hun Sen. - AFP

Berita Harian X