Sabtu, 9 November 2019 | 9:47pm
Agus Andrianto (kiri) menyoal suspek di Medan. - Foto AFP

Pemilik syarikat arah pembunuhan wartawan aktivis ditahan

JAKARTA: Seorang eksekutif minyak sawit ditahan selepas disyaki terbabit mengarahkan pembunuhan dua wartawan aktivis yang menjadi orang tengah dalam isu perebutan tanah antara syarikat miliknya bersama penduduk setempat, kata polis hari ini.

Mayat Maraden Sianipar ditemui minggu lalu di dalam parit berhampiran ladang kelapa sawit di Labuhan Batu, wilayah Sumatera Utara.

Mayat rakannya, Maratua Siregar pula dijumpai polis di kawasan sama, sehari selepas itu dan kedua-dua mayat dipenuhi kesan tikaman.

Susulan kejadian, pihak berkuasa Sumatera Utara hari ini menahan ahli perniagaan, Wibharry Padmoasmolo kerana terbabit sebagai perancang utama pembunuhan kedua mangsa, dengan membayar AS$3,000 (RM12,399) kepada empat lelaki untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Wibharry memiliki firma pengeluaran minyak sawit, sejenis bahan yang digunakan secara meluas untuk menghasilkan pelbagai jenis produk dan punca utama pertikaian dengan komuniti setempat.

Menurut pihak berkuasa, pembunuhan keduanya bertujuan menghentikan pembabitan mereka dalam isu berkenaan dan suspek turut menafikan memiliki firma itu.

Selain Wibharry, polis turut menahan empat lagi individu dipercayai memiliki kaitan dengan kes itu dan masih meneruskan usaha mengesan sejumlah besar suspek yang masih bebas.

“Kami masih mencari tiga lagi suspek selepas berjaya menahan lima daripada mereka untuk soal siasat,” kata ketua polis Sumatera Utara, Agus Andrianto.

Maraden dan Maratua masing-masing berkhidmat sebagai wartawan dengan portal berita tempatan sebelum memutuskan untuk meneruskan kerjaya sebagai wartawan bebas pada 2017. - AFP

Berita Harian X