Sabtu, 9 November 2019 | 6:52pm
Sam Rainsy yang selama ini melarikan diri dari negara asalnya, tiba di ibu negara Malaysia. - Foto AFP

Sam Rainsy tiba di Malaysia, janji pulang ke Kemboja

KUALA LUMPUR : Pemimpin pembangkang Kemboja, Sam Rainsy yang selama ini melarikan diri dari negara asalnya, tiba di ibu negara Malaysia selepas berjanji untuk pulang bagi mengetuai bantahan ke atas Perdana Menteri Hun Sen.

Sam Rainsy dihalang dari menaiki penerbangan Thai Airways dari Paris ke Thailand, Khamis lalu.

Beliau dan beberapa pemimpin dari parti pembangkang yang sudah diharamkan kerajaan berkata, mereka mahu pulang ke Kemboja dengan menyeberangi sempadan negara itu bersama Thailand.

Ditanya jika kehadirannya dialu-alukan di Kuala Lumpur, Sam Rainsy berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

“Saya tak tahu. Ia sama ada (akan disambut dengan) permaidani merah atau tangan digari,” katanya.

Hun Sen yang kerajaannya sudah menahan kira-kira 50 aktivis pembangkang di Kemboja sejak beberapa minggu lalu menyifatkan kepulangan Sam Rainsy dan rakan-rakannya sebagai cubaan untuk merampas kuasa.

Jurucakap kerajaan, Phay Siphan berkata, Sam Rainsy akan berdepan tindakan mahkamah jika memutuskan untuk pulang ke negara berkenaan.

“Jika beliau datang untuk mencetuskan ketidakstabilan dan kekecohan, kami akan musnahkan beliau,” katanya.

Sementara itu di Phnom Penh iaitu ibu negara Kemboja, pasukan keselamatan mula berkawal sebagai persediaan menghadapi sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-66 Kemboja daripada cengkaman Perancis.

Kemboja akan meraikan sambutan festival air esok dan Isnin. - Reuters

Berita Harian X