Isnin, 4 November 2019 | 7:39pm

Dua wartawan ditemui mati ditikam

MEDAN: Dua wartawan tempatan yang terbabit sebagai orang tengah dalam pertikaian tanah antara kilang minyak kelapa sawit dan penduduk setempat ditemui mati dengan kesan tikaman di sebuah ladang di Sumatera.

Mayat Maraden Sianipar ditemui Rabu lalu di dalam sebuah parit, berhampiran ladang kelapa sawit di daerah Labuhan Batu, kira-kira 8 jam perjalanan dari ibu negeri wilayah Sumatera Utara.

Polis menemui mayat Maratua Siregar di lokasi sama beberapa hari kemudian, juga dipenuhi kesan tikaman.

Ketua polis tempatan, Agus Darojat memberitahu, enam individu sudah disoal siasat susulan kejadian, namun tiada suspek dinamakan setakat ini.

Kedua-dua mangsa bertugas dengan sebuah portal berita sebelum memutuskan untuk bertukar haluan sebagai wartawan bebas pada 2017.

Seorang rakan Siregar berkata, kedua-dua mereka kebelakangan ini kian dikenali apabila bertindak sebagai aktivis dalam isu perebutan tanah berkenaan.

Kejadian itu menerima kecaman persatuan wartawan Indonesia, yang mendesak pihak berkuasa menyiasat perkara terbabit sepenuhnya.

Menurut Kerjasama Wartawan Bebas, kes keganasan membabitkan wartawan di Indonesia sering senyap begitu sahaja, walaupun pada tahun ini terdapat sekurang-kurangnya 24 insiden seumpama itu.

Indonesia menduduki tangga ke-124 dari 180 negara dalam Indeks Kebebasan Wartawan Dunia 2019, yang diterbitkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan. - AFP

Berita Harian X