Isnin, 4 November 2019 | 4:56pm
Pegawai polis di tempat kejadian di mana mayat 39 pendatang Vietnam ditemui dalam trak kontena di Grays, Essex -Foto Reuters

Vietnam tahan 8 orang dalam kaitan kematian trak di UK

HANOI: Polis di Vietnam menahan lapan orang berikutan penemuan 39 mayat rakyat negara itu dalam sebuah trak berhampiran London bulan lalu, kata media tempatan hari ini.

Minggu lalu, polis Britain mendakwa dua lelaki atas tuduhan membunuh berhubung kematian kumpulan pendatang terbabit yang mana mayat mereka ditemui dalam sebuah trak kontena 23 Oktober lalu.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima daripada suspek, kami akan melancarkan siasatan secara aktif untuk memerangi dan menghapuskan rangkaian yang membawa pendatang haram ke Britain.

“Perkara terbaik sekarang ialah menguruskan kesan insiden dan membantu anggota keluarga menerima mayat orang tersayang,” kata ketua polis wilayah Nghe An, Nguyen Huu Cau, menrut Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menurut VNA, Huu Cau berkata, polis menguruskan tragedi itu sebagai insiden penyeludupan berbanding kes pemerdagangan orang.

Kebanyakan mangsa berasal dari wilayah berjiran di Nghe An dan Ha Tinh, terletak di utara-tengah Vietnam di mana prospek pekerjaan kurang, galakan pihak berkuasa, samseng penyeludup dan bencana alam semuanya menyumbang kepada kebanjiran pendatang.

Jumaat lalu, polis di Ha Tinh berkata, mereka menahan dua orang dan memanggil beberapa lain untuk disoal kerana disyaki terbabit dalam insiden itu.

Semalam, satu delegasi diplomat Vietnam dan polis berlepas ke Britain dan dijangka bertemu rakan sejawatan mereka di negara itu hari ini. -Reuters

Berita Harian X