Isnin, 4 November 2019 | 3:54pm
Ada 100,000 e-skuter berdaftar di Singapura dan jumlah kemalangan membabitkan e-skuter bermotor terus meningkat. -Foto hiasan

Singapura larang e-skuter di laluan pejalan kaki bermula esok

SINGAPURA: Republik ini melarang penggunaan skuter elektrik atau e-skuter di laluan pejalan kaki bermula esok (5 November) dalam langkah terbaharu dan tegas bagi menangani isu keselamatan.

Laporan akhbar The Straits Times Singapura menyebut, bermula sekarang sehingga hujung tahun ini, pihak berkuasa hanya akan mengeluarkan amaran kepada pengguna namun pendekatan toleransi sifar itu akan berakhir awal tahun depan.

Mereka yang didapati melanggar peraturan itu akan didenda sehingga S$2,000 (RM6,124.19) atau dipenjara sehingga tiga bulan jika disabitkan.

Menteri Kanan Pengangkutan Singapura Lam Pin Min berkata di Parlimen hari ini, larangan itu bermaksud penggunaan e-skuter akan dihadkan dalam jarak 440 kilometer di laluan berbasikal di seluruh kepulauan kecil itu berbanding 5,500 kilometer laluan pejalan kaki yang digunakan sebelum ini.

Mengumumkan pelaksanaan peraturan tegas itu, Pin Min berkata, sejak dua tahun lalu, pihaknya memperkenalkan usaha meluas mempromosi penggunaan skuter bermotor dengan selamat.

“Walaupun dengan usaha itu, kami terus berdepan pengguna menyimpang yang menggunakan skuter tidak mengikut spesifikasi serta bertindak melulu,” katanya mengumumkan langkah itu dalam satu kenyataan sebagai membalas soalan lima Ahli Parlimen (MP) termasuk Sitoh Yih Pin (Potong Pasir) yang bertanya rancangan memperbaiki tahap keselamatan berkaitan penggunaan peranti mudah ali peribadi (PMDs).

Peranti dikelaskan sebagai PMDs termasuk e-skuter, hoverboard dan ekasikal. Namun e-skuter menjadi subjek utama penelitian di tengah kebimbangan keselamatan berhubung penggunaannya.

Ada 100,000 e-skuter berdaftar di Singapura dan Pin Min berkata, jumlah kemalangan membabitkan peranti bermotor itu terus meningkat dengan satu nahas maut membabitkan seorang penunggang motosikal dan pengguna e-skuter di Bedok pada September lalu.

Pihak berkuasa menangkap kira-kira 370 pesalah sebulan. Katanya, tindakan itu bukan satu larangan penuh terhadap penggunaan e-skuter. -Agensi

Berita Harian X