Isnin, 4 November 2019 | 10:14am
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berucap semasa Sidang Kemuncak ASEAN-PBB Ke-10 di Nonthaburi, Thailand. - Foto EPA

Setiausaha PBB gesa Myanmar jamin pelarian Rohingya selamat pulang

BANGKOK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa Myanmar memastikan kepulangan ‘selamat’ pelarian Rohingya yang meninggalkan negara itu kerana kekejaman tentera.

Rayuan itu dilakukan di hadapan ketua umum negara berkenaan, Aung San Suu Kyi lebih dua tahun sejak tentera Myanmar bertindak keras ke atas penduduk Islam Rohingya.

Bercakap pada sidang kemuncak ASEAN di Bangkok, dengan kehadiran Suu Kyi, Guterres berkata beliau masih amat bimbang dengan nasib etnik Rohingya.

Keganasan di negeri Rakhine pada 2017 memaksa lebih 740,000 etnik Rohingya melarikan diri, kebanyakannya berlindung dalam kes sesak di Bangladesh, dalam apa yang disifatkan penyiasat PBB sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai rakyatnya.

Myanmar berkata, ia menerima semula mereka yang bersetuju dengan status birokrasi yang tidak menyamai, jika bersetuju tinggal di bawah kawalan ketat selepas kampung mereka dibakar.

Guterres berkata, Myanmar bertanggungjawab memastikan persekitaran kondusif bagi penghantaran semula pelarian dengan selamat, sukarela, bermaruah dan mampan.

Suu Kyi dilihat duduk dalam bilik berkenaan tanpa menunjukkan sebarang rasa ketika Guterres bercakap.

Guterres juga menggesa Myanmar memastikan aktivis kemanusiaan mempunyai akses penuh dan bebas ke kawasan itu. — AFP

Berita Harian X