Ahad, 3 November 2019 | 3:20pm
Perdana Menteri China, Le Keqiang ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-22 di wilayah Nonthaburi, Thailand. Foto EPA

Beijing sedia kerjasama dengan ASEAN

BANGKOK: Beijing hari ini, menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan negara di Asia Tenggara berhubung isu kod tata kelakuan membabitkan Laut China Selatan.

Perkara itu dinyatakan selepas Beijing dituduh membuli pihak lain yang membuat tuntutan serta membina kemudahan ketenteraan.

China menuntut hak ke atas sebahagian kawasan yang kaya dengan sumber itu, yang menjadi laluan utama perkapalan, sekali gus menjadi punca ketegangan hubungan dengan negara di Asia Tenggara.

Kesemua 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) berusaha mewujudkan kod tata kelakuan di laut itu, ketika China dituduh menempatkan kapal perang dan menyerang kapal menangkap ikan.

Perjanjian yang bakal dimeterai pada 2021, bertujuan menyediakan garis panduan di kawasan perairan yang terbabit dengan konflik.

Terdahulu, selepas bacaan pertama hari ini, bagi memberi peluang kepada negara anggota ASEAN memberikan maklum balas mereka, Perdana Menteri China, Li Keqiang, menyifatkan ia sebagai satu peristiwa penting.

“Kami sedia bekerjasama dengan negara ASEAN untuk mengukuhkan asas sedia ada dan berusaha ke arah kemajuan, berdasarkan garis panduan itu,” katanya.

Beliau juga berkata, China mahu mengekalkan kestabilan dan keamanan jangka panjang di Laut China Selatan. - AFP

Berita Harian X