Ahad, 3 November 2019 | 9:02am

Gas pemedih mata, meriam air suraikan penunjuk perasaan di Hong Kong

HONG KONG: Polis Hong Kong menembak gas pemedih mata dan meriam air semalam ketika ribuan penunjuk perasaan prodemokrasi menentang arahan pihak berkuasa dalam satu lagi perarakan selepas Beijing berikrar akan mengetatkan kawalan ke atas bandar raya itu.

Daerah komersil di pulau utama menjadi medan pertempuran apabila penunjuk perasaan berpakaian hitam, ramai daripada mereka memakai topeng muka walaupun diharamkan, bertempur dengan polis pencegah rusuhan beberapa jam.

Penunjuk perasaan tegas membaling bata dan bom petrol dan merosakkan banyak stesen kereta api bawah tanah dan perniagaan yang dianggap pro-China, termasuk memecahkan tingkap pejabat agensi berita rasmi China, Xinhua.

Polis bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata, menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka dan membuat puluhan tangkapan.

Selepas satu pertempuran, wartawan AFP melihat kira-kira 100 orang dibawa dengan tiga trak.

Antara yang terperangkap dalam bedilan gas pemedih mata ialah peminat ragbi yang berkumpul di bar di Wanchai untuk menonton pertandingan akhir Piala Dunia.

Seorang sukarelawan perubatan cedera apabila tin gas pemedih mata terkena belakangnya.

Menjelang petang, pertempuran merebak ke Mongkok dan Tsim Sha Tsui, dua kawasan yang kerap melihat pergaduhan sejak beberapa bulan ini.

Sementara itu, dalam kenyataannya Xinhua mengutuk tindakan kejam penunjuk perasaan yang mensasarkan pejabatnya. — AFP

Berita Harian X