Rabu, 30 Oktober 2019 | 6:26pm

Raja Thailand pecat pengawal kerana 'berzina'

BANGKOK: Raja Thailand memecat empat pengawal diraja, dua daripadanya kerana berzina, dalam satu lagi kontroversi yang melanda istana seminggu selepas semua gelaran yang diberikan kepada peneman diraja dilucutkan kerana tidak setia.

Menurut Warta Diraja semalam, Raja Maha Vajiralongkorn, 67, mengarahkan pemecatan dua pengawal lelaki dari bahagian ‘bilik tidur’.

“Mereka didakwa melakukan perbuatan yang tidak wajar dan berzina,” warta itu menyebut.

Warta itu berkata, dua lagi pengawal gagal memenuhi piawaian pengawal diraja dan dipecat tanpa pampasan.

Keluarga diraja Thailand dilindungi oleh undang-undang fitnah demi memelihara kemuliaan dan menghentikan penghinaan terhadap institusi diraja.

Terdahulu, bekas gundik diraja, Sineenat Wongvajirapakdi, 34 dilucutkan daripada semua gelaran diraja, tiga bulan selepas dilantik memegang peranan itu, yang pertama dalam tempoh satu abad.

Beliau dituduh tidak setia dan cuba bersaing dengan Ratu Suthida Bajrasudhabimalalakshana.

Vajiralongkorn mengahwini Suthida, isteri keempatnya Mei lalu.

Sejak dipecat, bekas peneman diraja, Sineenat tidak lagi dilihat di khalayak ramai.

Selepas dilucutkan gelaran, enam pegawai istana lain turut dipecat kerana melakukan tindakan yang melampau.

Vajiralongkorn menaiki takhta pada 2016 selepas kematian ayahanda tercinta dan dinobatkan dalam sebuah majlis pertabalan yang gilang gemilang Mei lalu. - AFP

Berita Harian X