Ahad, 27 Oktober 2019 | 7:42pm
Le Minh Tuan, bapa Le Van Ha, 30, yang dibimbangi antara 39 maut dalam trak sejuk beku di Britain, menangis sambil mendokong cucunya di luar rumah mereka di wilayah Nghe An, Vietnam, hari ini. -Foto AFP

Polis Vietnam ambil sampel DNA, PM arah siasat aktiviti pemerdagangan

CAN LOC: Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc semalam mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengesahkan jika rakyat negara itu antara 39 yang ditemui mati dalam belakang trak sejuk beku berhampiran London 23 Oktober lalu.

Xuan Phuc juga mengarahkan polis melancarkan siasatan terhadap dakwaan aktiviti pemerdagangan manusia.

Polis British berkata, sekurang-kurangnya sesetengah mangsa mungkin berasal dari negara Asia Tenggara itu.

“Sebarang pelanggaran undang-undang akan dilaksanakan dengan tegas,” kata Xuan Phuc dalam kenyataan di laman web kerajaan. Beliau mahukan laporan berhubung kes itu daripada pihak berkuasa menjelang 5 November ini.

Kementerian Luar Vietnam dalam satu kenyataan berkata, ia sudah mengarahkan kedutaannya di London membantu polis British untuk mengenal pasti mangsa.

Sementara itu, polis Vietnam mengambil sampel rambut dan darah hari ini untuk mendapatkan DNA daripada saudara mara mangsa yang dibimbangi antara 39 yang maut dalam trak terbabit, kata anggota keluarga.

Bapa Joseph Nguyen Dinh Luong dan Pham Thi Tra My, dipercayai antara yang maut dalam trak kontena minggu lalu berkata, polis mengunjungi mereka secara berasingan untuk mengutip sampel.

“Polis dari Kementerian Keselamatan Awam datang untuk mendapatkan sampel DNA, rambut dan darah kami,” kata Nguyen Dinh Gia di sini. -Reuters

Berita Harian X