Sabtu, 26 Oktober 2019 | 3:58pm
Wanita Vietnam, Pham Thi Tra My, 26, (kiri) dan lelaki Vietnam, Nguyen Dinh Luong, 20, dibimbangi antara 39 mangsa yang maut dalam trak dingin beku ditemui di Britain, Rabu lalu. -Foto Twitter

Majoriti 39 mangsa dalam trak UK mungkin dari Vietnam

YEN THANH: Majoriti 39 orang yang ditemui mati dalam belakang trak dingin beku berhampiran London kemungkinan dari Vietnam, kata seorang pemimpin masyarakat luar bandar tempat asal ramai mangsa terkorban kepada Reuters hari ini.

Penemuan mayat terbabit, 38 dewasa dan seorang remaja dibuat Rabu lalu selepas perkhidmatan kecemasan dimaklumkan oleh mangsa yang berada dalam trak di tapak perindustrian di Grays, sejauh 32 kilometer di timur London.

Polis berkata, mereka percaya, mangsa yang maut berasal dari China, namun Beijing berkata, kerakyatan mereka belum disahkan. Pihak berkuasa China dan Vietnam kini bekerja rapat dengan polis British, kata kedutaan masing-masing.

Paderi Anthony Dang Huu Nam yang berkhidmat di bandar terpencil di utara wilayah Nghe An, Vietnam di sini, sejauh 300 kilometer dari selatan Hanoi berkata, beliau sedang berhubung dengan anggota keluarga mangsa.

“Seluruh daerah ini diselubungi kesedihan. Saya masih mengumpul butiran untuk semua keluarga mangsa dan akan mengadakan upacara berdoa untuk mereka malam ini. Ini adalah satu malapetaka untuk komuniti kami,” kata Huu Nam.

Paderi Katolik itu berkata, keluarga mangsa memaklumkan, mereka tahu saudara mara berkunjung ke United Kingdom (UK) namun gagal menghubunginya.

Kementerian Luar Vietnam dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia mengarahkan kedutaannya di London untuk membantu polis British bagi engenal pasti mangsa. Kementerian bagaimanapun tidak membalas permohonan untuk mengulas.

Nghe An adalah satu daripada wilayah termiskin Vietnam dan ramai menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang mahu berkunjung ke Eropah, menurut laporan Mac lalu oleh Yayasan Hubungan Pasifik, pertubuhan anti-pemerdagangan berpusat di Amerika Syarikat (AS).

Mangsa lain dipercayai berasal dari wilayah berjiran di Ha Tinh, kata Huu Nam, di mana lapan bulan pertama tahun ini, 41,790 orang meninggalkan kawasan itu untuk bekerja di tempat lain termasuk luar negara, menurut media tempatan.

Seorang mangsa disyaki dari Ha Tinh, adalah Pham Thi Tra My, 26, menghantar mesej teks kepada ibunya mengatakan dia tidak dapat bernafas ketika berada di belakang trak yang dalam perjalanan dari Belgium ke Britain. -Reuters


Gambar diambil kelmarin menunjukkan papan tanda lalu di pelabuhan Belgium di Zeebrugge. Polis British berkata, trak bersama 39 mayat ditemui 23 Oktober lalu di kawasan perindustrian timur London memasuki UK dari pelabuhan berkenaan. -Foto AFP

Berita Harian X