Rabu, 23 Oktober 2019 | 3:46pm
Mu Sochua
Mu Sochua

Pemimpin pembangkang Kemboja dihalang masuk Thailand

BANGKOK: Pemimpin pembangkang Kemboja yang hidup dalam buangan, dihalang masuk ke Thailand pada hujung minggu lalu, menjelang kepulangannya ke negara itu, awal bulan depan.

Human Rights Watch memaklumkan Reuters, Mu Sochua, yang juga naib presiden Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) yang diharamkan, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada tengah hari Ahad lalu.

“Beliau ditahan oleh imigresen Thailand selama beberapa jam, dan akhirnya dihalang masuk ke Thailand,” kata kumpulan hak asasi itu.

Namun, tidak diketahui punca yang menyebabkan beliau dihalang daripada memasuki Thailand dan pihak berkuasa negara itu, masih belum membalas pertanyaan yang dikemukakan oleh Reuters.

Reuters turut menghubungi Sochua dan Kerajaan Kemboja untuk penjelasan lanjut.

Kejadian berlaku menjelang kepulangan beberapa pemimpin pembangkang yang hidup dalam buangan, termasuk Sam Rainsy dan Mu Sochua sempena sambutan Hari Kemerdekaan Kemboja pada 9 November.

Kepulangan pemimpin pembangkang itu bertujuan menyertai perhimpunan membantah rejim pimpinan Perdana Menteri, Hun Sen.

Pengasas CNRP, Sam Rainsy melarikan diri ke Perancis kira-kira empat tahun lalu, selepas disabitkan bersalah atas jenayah fitnah dan dikehendaki membayar pampasan sebanyak AS$1 juta (RM4.18 juta).

Beliau turut berdepan hukuman penjara lima tahun, dalam kes berasingan.

Bulan lalu, Kemboja menahan enam aktivis politik atas tuduhan merancang mengadakan perhimpunan bagi menyokong Rainsy, jika beliau kembali ke negara itu.

Ia menjadikan jumlah aktivis yang ditahan dari parti yang diharamkan sekurang-kurangnya 30 orang.

Pengkritik menyifatkan Kemboja sebagai negara yang ditadbir sebuah parti, sejak Mahkamah Agung membubarkan CNRP pada akhir 2017, iaitu beberapa bulan sebelum berlangsungnya pilihan raya negara itu, tahun lalu.

Dalam pilihan raya itu, parti pimpinan Hun Sen berjaya menguasai kesemua kerusi di Parlimen.

Pemimpin CNRP, Kem Sokha kini menjalani tahanan dalam rumah, sementara menunggu perbicaraan membabitkan tuduhan merancang menggulingkan kerajaan. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X