Isnin, 7 Oktober 2019 | 6:55pm
Lebih 16,000 penduduk yang ketakutan dari bandar Wamena di wilayah paling timur Papua, Indonesia melarikan diri susulan keganasan yang tercetus di situ sejak hujung bulan lalu. - Foto AFP

16,000 penduduk lari dari keganasan di Papua

JAKARTA: Lebih 16,000 penduduk yang ketakutan dari bandar Wamena di wilayah paling timur Papua, Indonesia melarikan diri susulan keganasan yang tercetus di situ sejak hujung bulan lalu.

Hari ini tentera berkata, kira-kira 11,400 orang yang kebanyakan pendatang sudah dipindahkan dengan menaiki pesawat tentera.

Manakala ribuan lagi sudah meninggalkan wilayah itu sejak hujung bulan lalu dengan menaiki pesawat komersial.

Hari ini juga, Human Right Watch (HRW) menyeru supaya siasatan terhadap 33 mangsa rusuhan maut semasa tunjuk perasaan di Wamena, yang diketuai Suruhanjaya Kebangsaan mengenai Hak Asasi Manusia di negara Asia Tenggara.

“Kerajaan Indonesia sepatutnya segera membenarkan pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki Papua untuk menyiasat situasi,” kata kumpulan itu menerusi satu kenyataan.

Difahamkan keganasan di Wamena dicetuskan oleh komen berbaur perkauman yang dibuat seorang guru terhadap muridnya.

Walau bagaimanapun menurut seorang wartawan AFP, terdapat tanda-tanda bahawa Wamena akan pulih apabila kedai dan sekolah sudah dibuka seperti biasa.-AFP.

Berita Harian X