Khamis, 19 September 2019 | 7:16am

Polis Thai arah universiti beri maklumat aktiviti pelajar Islam

BANGKOK: Sekumpulan pelajar Islam Thailand semalam menggesa polis menggugurkan arahan meminta universiti menyediakan maklumat mengenai pelajar Islam dan aktiviti mereka di negara itu.

Penduduk Islam adalah kumpulan agama kedua terbesar di Thailand dengan majoritinya menetap di tiga wilayah paling selatan negara itu, yang menyaksikan konflik antara kumpulan pemisah dan pihak berkuasa Thailand sejak 2004.

Kumpulan hak asasi sudah lama menuduh negara itu menekan majoriti penduduk Islam di wilayah berkenaan yang kini diletakkan dalam undang-undang tentera.

Minggu lalu, Biro Cawangan Khas mengeluarkan arahan kepada universiti supaya memberikan maklumat mengenai pelajar Islam dan aktiviti mereka di kampus, kata jurucakap polis,

Krissana Pattanacharoen, atas alasan keselamatan.

Berita itu segera mencetuskan kemarahan komuniti itu, dan Persekutuan Pelajar Islam Thailand, semalam menggesa Parlimen membatalkan permintaan itu.

“Arahan berkenaan juga adalah bentuk diskriminasi yang melanggar Perlembagaan.

“Tuduhan tidak berasas seperti itu akan mencetuskan perpecahan dalam kalangan pelajar Islam dan lain-lain di universiti dan masyarakat,” kata presidennya, Ashraf Awae, di luar Parlimen.

Beliau menambah, persekutuan itu mendapat tahu polis meminta maklumat berkenaan dari sekurang-kurangnya tiga universiti utama.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-O-Chan, kelmarin mempertahankan Cawangan Khas, dan menafikan kewujudan pangkalan data mencabul hak asasi penduduk.

“Kita tidak boleh menangkap sesiapa jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya kepada wartawan.

Sokongan Prayuth menunjukkan corak membimbangan peningkatan Islamofobia di Thailand, kata jurucakap Human Rights Watch, Sunai Phasuk. — AFP

Berita Harian X