X
Rabu, 18 September 2019 | 1:04pm
Pihak berkuasa berusaha memadam kebakaran tanah dan hutan di perkampungan Merbau dalam daerah Bunuh, Pelalawan, Riau, semalam. -Foto Agensi
Pihak berkuasa berusaha memadam kebakaran tanah dan hutan di perkampungan Merbau dalam daerah Bunuh, Pelalawan, Riau, semalam. -Foto Agensi

Penduduk Riau pindah akibat jerebu

JAKARTA/JAMBI: Keluarga Fatimahtuzzuhra El-Karim meninggalkan rumah mereka di Kampar, Riau dan berpindah ke Binjau di Sumatera Utara berikutan bimbangkan keadaan kesihatan mereka, ketika kabut beracun akibat kebakaran hutan merebak di luar kawalan.

Wanita berusia 26 tahun itu berkata, dia kini menumpang di rumah ibu bapanya di Binjai sejak tiga minggu lalu bersama suami dan anak lelakinya berusia satu setengah tahun.

“Kami menumpang di rumah ibu bapa saya kerana kabut terlalu teruk. Kami hanya akan pulang sebaik udara lebih bersih,” katanya semalam dipetik akhbar The Jakarta Post.

Fatimah berkata, ini adalah kabut paling teruk pernah dialaminya sejak dua tahun lalu atau sejak mereka berpindah ke kompleks perumahan Puri Indah Kualu dalam daerah Tambang, sejauh tiga kilometer dari satu kawasan tompok panas di wilayah itu.

Katanya, ramai jirannya juga berpindah untuk tinggal bersama saudara-mara di Medan atau Padang di Sumatera Barat ketika jerebu semakin teruk.

Katanya, penduduk di kawasannya sudah terjejas akibat jerebu sejak Julai lalu, namun ketika itu kabut masih nipis dan tidak terlalu mengganggu.

Bagaimanapun, ketika ia bertukar kepada asap tebal menyelubungi Kampar Ogos lalu, penduduk memilih untuk tidak keluar rumah bagi mengelak pendedahan, sebelum ramai akhirnya meninggalkan kawasan itu atas alasan kesihatan.

Seorang lagi penduduk Riau, yang menetap di ibu kota wilayah Pekanbaru, Prayogo Werdi, 48, bercadang berpindah ke Medan untuk mengelak jerebu namun masih belum mendapat kebenaran daripada majikannya.

Pengendali lapangan terbang negeri, Angkasa Pura II mengakui peningkatan jumlah penumpang dari Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II di Riau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Sumatera Utara sejak kebakaran hutan semakin merebak.

“Kami tidak tahu jika ini ada kaitan dengan peningkatan penumpang dan kabut namun hakikat jumlah penumpang terbang ke Sumatera Utara dari Riau meningkat secara drastik,” kata jurucakap lapangan terbang Kualanamu, Wisnu Budi Setianto.

Asap tebal menyelubungi sebahagian Sumatera dan Kalimantan selama beberapa minggu akibat kebakaran hutan meluas yang menyaksikan ratusan ribu penduduk menderita jangkitan pernafasan akut.

Seorang bayi empat bulan dilaporkan maut akibat pneumonia dan meningitis akibat krisis jerebu di Sumatera Selatan.

Di Riau, lebih 100 penduduk berlindung di pos kesihatan diwujudkan pihak berkuasa bagi melindungi kesihatan anak mereka.

Mimi, 35, datang melawat pos kesihatan di Pekanbaru bersama dua anaknya untuk meminta bantuan pernafasan namun kemudian memutuskan untuk tinggal di situ kerana udara lebih bersih.

“Keadaan di sini jauh lebih baik daripada rumah kami. Kami mengelak jerebu masuk ke dalam rumah kerana membuka penapis udara,” katanya dilaporkan kompas.com, menambah bayinya berusia dua bulan mengalami sesak nafas dan batuk kerana jerebu.

Pentadbiran Riau mendirikan sekurang-kurangnya 14 pos kesihatan di seluruh wilayah bagi membantu penduduk menangani krisis jerebu.

Data dikumpul Agensi Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik (BMKG) menunjukkan, Indonesia menyaksikan 45,206 tompok panas tahun ini sehingga Sabtu lalu. Jumlah itu lebih rendah berbanding 85,514 yang direkod pada 2015 namun lebih tinggi daripada 27,212 direkod pada 2018.

Agensi Pencegahan Bencana Nasional (BNPB) percaya, kebakaran hutan tahun ini kemungkinan lebih buruk berbanding 2015 jika musim kering berterusan sehingga bulan depan, seperti diramalkan BMKG.

“Saya mengarahkan BNPB menjalankan operasi pembenihan awan untuk membuat hujan buatan di kawasan terjejas. Kami akan melakukannya dalam skala besar dan mapan,” kata Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo ketika melawat Riau petang kelmarin.

Jurucakap BNPB, Agus Wibowo berkata, agensi itu mengerah tujuh pesawat untuk pembenihan awan di Riau manakala lebih 40 pesawat akan menjalankan operasi serupa di enam rantau terjejas iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Sementara itu di Palembang, Sumatera Selatan, ribuan mahasiswa universiti mengadakan bantahan di hadapan pejabat gabenor semalam bagi memprotes tindakan lambat kerajaan yang dikatakan mereka dipersalahkan atas kebakaran hutan meluas di rantau itu.

Gabenor Sumatera Selatan, Herman Deru berkata, agensi penguatkuasa undang-undang menamakan 23 suspek yang didakwa membakar hutan. -Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X