Rabu, 11 September 2019 | 1:15am
Thailand melancarkan bungkusan kotak rokok kosong hari ini, negara pertama di Asia memperkenalkan apa yang disifatkan aktivis sebagai cara berkesan mengurangkan keinginan merokok. - Foto AFP

Thailand lancar bungkusan kotak rokok kosong

BANGKOK: Thailand melancarkan bungkusan kotak rokok kosong hari ini, negara pertama di Asia memperkenalkan apa yang disifatkan aktivis sebagai cara berkesan mengurangkan keinginan merokok.

Pada 2012, Australia menjadi negara pertama mewajibkan produk tempatan dijual tanpa logo jenama berwarna-warni.

Sejak itu, kebanyakan negara Eropah mengikut langkah berkenaan termasuk Perancis, Hungary dan United Kingdom.

Thailand, tahun lalu bersetuju mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan bungkusan kosong itu didapati di kedai hari ini secara rasmi.

Perniagaan mempunyai masa hingga 8 Disember ini untuk menghabiskan stok sebelum berhadapan denda sehingga 40,000 baht (RM5,416).

Pembungkusan diseragamkan itu termasuk gambar grafik kesan tembakau ke atas tubuh dan nama jenama bebas logo ditulis dalam bentuk tulisan kosong.

Mengekalkan jenis tulisan seragam di bawah gambaran grafik penyakit berkaitan rokok akan menjadikan produk itu kurang menarik kepada pembeli, kata timbalan pengerusi NGO Southeast Asia Tobacco Control Alliance, Prakit Vathesatogkit.

“Bagi perokok pasif, kanak-kanak, mereka kurang berkemungkinan memulakan tabiat itu,” katanya.

Ada lebih 246 juta perokok di Asia Tenggara, yang menyaksikan aktivis berkata harga murah membantu ia menjadi antara rantau pengguna tembakau terbesar dunia.

Di Thailand, kesan kesihatannya besar dan penyakit berkaitan merokok adalah punca utama kematian.

Singapura dijangka melaksanakan sekatan seumpama itu ke atas pembungkusan tahun hadapan. — AFP

1332 dibaca
Berita Harian X